PKR perlu kekal teguh – Azmin Ali
MELAKA,. PKR perlu kekal teguh umpama ‘Rock of Gibraltar’ bagi Pakatan Harapan (PH), disebabkan oleh kestabilan dan ketahanannya, kata Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata PKR perlu bekerjasama dengan semua rakan kongsi dalam satu gabungan yang amat berpengaruh, dan sentiasa berusaha untuk maju dan membawa pembaharuan kepada negara.
“Ia amat penting, bahawa akhirnya rakan-rakan dalam gabungan ini perlu kekal teguh dalam sokongan terhadap wawasan dan gambaran yang lebih luas,” katanya semasa berucap merasmikan serentak Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam ini.
Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata PH perlu meraikan kepelbagaian pendapat dan wacana fikiran yang sihat serta rakyat mahu melihat kesatuan dan keberkesanan dalam tindakan.
“Dalam perkara ini PKR perlu menjadi pelopor dan barisan hadapan sebagai penggerak bagi memenuhi perkara ini. Kita mesti optimis. Kita tidak boleh dikalahkan. Kita mesti konsisten dalam melakukan apa yang betul. Kita mesti terbuka untuk mendengar apa yang rakyat katakan. Kita mesti sentiasa berwaspada,” katanya penuh bersemangat.
Mohamed Azmin juga menekankan bahawa PKR telah membuktikan setiap perbezaan pandangan yang dihadapi parti itu dapat dirungkai dan ditangani atas semangat perpaduan, ‘’ruhul ukhuwwah’ dan ‘mutual respect’ (saling menghormati).
Katanya parti dominan kerajaan PH ini juga mesti mempunyai semangat dan berjiwa besar untuk mendengar pandangan akar umbi.
“Saya yakin, jika kita berpegang teguh kepada idealisme dan prinsip-prinsip perjuangan yang luhur, apa juga perbezaan, masalah, mahupun krisis akan dapat diselesaikan. Kita akan tampil, bangun dengan lebih kuat daripada sebelum ini,” tagasnya.
Ahli Parlimen Gombak itu seterusnya mengingatkan anggota parti mengenai wadah perjuangan yang memperjuangkan keadilan dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat.
Menyentuh peranan golongan muda dalam pembangunan negara, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata kerajaan PH meletakkan anak muda sebagai nadi dan nafas negara dan peruntukan RM300 juta disediakan untuk pembangunan generasi muda.
Beliau berkata anak muda dan wanita, khususnya siswazah, suri rumah dan mereka yang dalam proses peralihan pekerjaan perlu berani merebut segala peluang yang ada untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Mengambil iktibar sebuah negara maju yang gagal mengagihkan kekayaan dengan saksama sehingga menyebabkan ia berhadapan krisis ekonomi, Mohamed Azmin berkata kerajaan memutuskan menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) untuk menjadikan Malaysia negara adil, saksama dan inklusif bagi semua rakyatnya.
“Ikhtiar ini akan memacu transisi ekonomi negara ke arah yang lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat. WKB 2030 akan memperbetulkan ketempangan dan ketidakseimbangan sosial dalam masyarakat bagi merapatkan jurang antara kelas pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.
Terdahulu, kehadiran Mohamed Azmin masuk ke dewan perasmian dengan mengayuh beca berhias bendera PKR itu mencuri tumpuan kira-kira 2,000 perwakilan dan penyokong yang hadir dengan iringan laungan ‘reformasi’.
Hadirin turut dihidangkan dengan tayangan video khas yang mengimbas kembali detik-detik perjuangan reformasi parti itu sejak dua dekad lalu.
Kongres kali-14 ini akan berlangsung sehingga Ahad ini.
— BERNAMA