PKS mohon sokongan aliran tunai dalam Bajet 2022

KUALA LUMPUR: Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) berharap kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 tidak lama lagi akan memberikan tumpuan kepada langkah-langkah yang dapat meringankan beban aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya sektor yang paling teruk terjejas dilanda pandemik COVID-19.

Presidennya Datuk Michael Kang Hua Keong berkata sektor-sektor seperti pelancongan, industri perfileman, tempat hiburan atau berlibur, sukan serta pusat pendidikan swasta dan pusat pengayaan adalah antara yang paling terkesan disebabkan pandemik itu dan memerlukan aliran tunai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Di bawah Bajet 2022, kerajaan harus menyediakan insentif bebas cukai untuk pengusaha, mengurangkan cukai PKS kepada 10 peratus daripada 17 peratus dan merendahkan kadar cukai korporat untuk pendapatan RM1 juta pertama yang dikenakan cukai,” katanya kepada Bernama.

Kang percaya tahun 2022 adalah tahun pemulihan dan tahun endemik, justeru, PKS memerlukan sokongan penuh daripada kerajaan terutama untuk membangunkan semula perniagaan dan pulih daripada kesan COVID-19.

“PKS di Malaysia berhadapan dengan masalah aliran tunai yang tenat dan mereka amat mengharapkan bantuan kerajaan. Lebih-lebih lagi, apabila transformasi digital telah menjadi kian penting bagi perniagaan kecil sejak tercetusnya COVID-19.

“Ketika perniagaan dalam fasa menyesuaikan keadaan dengan persekitaran yang begitu pesat berubah, mereka memerlukan sokongan kerajaan cara untuk maju seiring dengan penggunaan digitalisasi,” katanya sambil menambah tenaga kerja juga merupakan faktor penting kepada PKS untuk menerajui transformasi.

Kang berkata kerajaan perlu menyediakan sebanyak mungkin insentif dan geran untuk PKS, terutama mengenai digitalisasi bagi menghasilkan lebih banyak pekerjaan di dalam negara.

“Persatuan amat berharap dapat melihat lebih banyak insentif daripada kerajaan untuk ekonomi digital serta pengurangan cukai ke atas semua perbelanjaan,” katanya.

Sekiranya PKS dapat terus bertahan, beliau menambah kerajaan juga harus mempertimbang memberikan geran latihan dan insentif khusus mengenai hijau, inovasi dan automasi untuk memulihkan kembali pendapatan.

“Kesemua ini mampu menarik lebih ramai pelabur asing dan pelabur tempatan runcit.

“Persatuan turut mengunjurkan 45 peratus sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025,” kata Kang.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan PKS kepada KDNK menyusut 38.2 peratus pada tahun 2020 dengan nilai tambah RM512.8 bilion berbanding 38.9 peratus (nilai tambah: RM553. 5 bilion) pada tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata belanjawan kali ini akan memberi perhatian dan bantuan kepada semua sektor termasuk sektor yang paling teruk terjejas iaitu pelancongan, peruncitan dan PKS.

Bajet 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober, 2021.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )