PKS perlu tingkatkan teknologi perniagaan atasi pengangguran di Malaysia

PKS perlu tingkatkan teknologi perniagaan atasi pengangguran di Malaysia

Oleh :
Prof Dr Azali Mohamed

Merujuk kepada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang melibatkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion pada 5 Jun lepas, kerajaan mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9 bilion bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan pengekalan pekerjaan pasca-COVID-19.

Antara inisiatif yang diambil untuk mengurangkan kadar pengangguran yang kini kira-kira 3.9 peratus adalah dengan memperluaskan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Program Subsidi Upah telah berjaya mengekalkan lebih 2.2 juta pekerjaan dan kerajaan bersetuju untuk melanjutkan subsidi upah ini selama tiga bulan lagi.

Melalui PENJANA, kerajaan juga memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Inisitiaf ini membolehkan majikan atau syarikat menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Inisiatif ini juga mampu memberi manfaat kepada 300,000 rakyat Malaysia yang sedang bergelut mencari pekerjaaan. Insentif itu merangkumi RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

Potensi perkasakan perniagaan

Malaysia mempunyai 14.9 juta belia dan belia berpotensi untuk memperkasakan perniagaan atau perkhidmatan yang berasaskan kepada teknologi dan secara e-dagang.

Antara industri yang mendapat manfaat daripada COVID-19 adalah industri yang berasaskan kepada teknologi. Lebih ramai belia perlu menyertai perniagaan atau menjadi usahawan dalam perniagaan berasaskan kepada teknologi dan perniagaan secara e-dagang. Belia juga lebih cenderung kepada Ekonomi Gig dan tidak hanya terhad kepada satu bidang atau profesion sahaja.

Kerajaan juga menyediakan lebih banyak platform melalui PENJANA untuk belia dalam berperanan dan melibatkan diri dalam perniagaan secara Ekonomi Gig. Pada ketika ini, perniagaan penghantaran makanan melalui pesanan dalam talian sedang berkembang pesat, model ini boleh diteruskan dalam bidang-bidang lain yang bersesuaian. Inisiatif e-dagang dan Gig Ekonomi yang ditekankan di dalam PENJANA merupakan kunci kepada survival peluang pekerjaan rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Inisiatif seterusnya kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Ini akan memanfaatkan lebih daripada 200,000 orang dan majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan turut disediakan di dalam PENJANA.

Tingkat kemahiran

Kerajaan juga turut menyedia pelan untuk membantu meningkatkan kemahiran dan elaun latihan khusus kepada penganggur sehingga RM4,000 yang boleh dituntut daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) oleh mereka yang hilang pekerjaan, meskipun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

Melihat kepada keperluan untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, langkah kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional untuk menyelaraskan dan memantau pelaksanaan kesemua inisiatif berkaitan pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) adalah bertepatan.

Berdasarkan kepada semua inisiatif di atas yang bernilai RM 9 bilion iaitu sebanyak 26 peratus peruntukan daripada keseluruhan RM35 bilion yang diperuntukkan dalam PENJANA menunjukkan dengan jelas usaha kerajaan dalam mengatasi isu pengangguran.

Berdasarkan kepada semua inisiatif yang dicadangkan oleh kerajaan dalam PENJANA, ia berada di landasan yang tepat di dalam konteks perancangan PENJANA khususnya dalam mengatasi kadar pengangguran negara.

Peranan PKS

Namun, apa yang lebih penting adalah pelaksanaan inisiatif ini memberi impak yang dapat dirasai oleh rakyat. Persoalannya, adakah impak keseluruhan inisiatif kerajaan ini dirasai oleh rakyat Malaysia? Di sinilah peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memastikan kesinambungan dan keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia dalam memperoleh peluang pekerjaan.

Sebelum ini, PKS menyumbang antara 37-38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan turut menyumbang 66 peratus guna tenaga di Malaysia. Berdasarkan data semasa COVID-19, sebanyak 93-95 peratus PKS melaporkan ia mengalami pengurangan pendapatan bulanan. Sebelum ini, PKS di Malaysia melibatkan kira-kira 908,000 syarikat yang berdaftar namun, angka ini tentunya berkurangan disebabkan oleh pandemik itu.

PKS yang terlibat dengan industri pelancongan dan penerbangan juga antara yang terjejas teruk. Dianggarkan kira-kira satu juta pekerja dalam ekosistem sektor pelancongan di Malaysia kehilangan pekerjaan susulan COVID-19 yang dengan kerugian anggaran kira-kira RM20 bilion antara Januari hingga April 2020.

Masih terdapat juga sektor yang meraih keuntungan daripada krisis ini antaranya sektor berkaitan teknologi seperti perniagaan secara online, teknologi komunikasi dengan menghubungkan manusia melalui aplikasi dalam talian seperti Zoom dan Webex serta pembekalan barangan kesihatan. Contohnya, Zoom memperolehi pendapatan sebanyak US$4 billion antara Januari hingga April 2020. Kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dalam PENJANA untuk memberikan suntikan kewangan dalam perniagaan berasaskan teknologi termasuk e-dagang.

Syarikat-syarikat perkhidmatan penghantaran di Malaysia seperti DeliverEat.my, Foodpanda, Grab dan Dahmakan meraih keuntungan besar berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 yang menyaksikan tempahan penghantaran melonjak lebih 30 peratus. DeliverEat.my, menyaksikan permintaan daripada restoran menokok sebanyak 300 peratus.

PKS perlu manfaatkan teknologi

Berdasarkan situasi semasa yang mencabar, maka kerajaan secara berterusan membantu PKS dalam memperkasakan penggunaan teknologi dalam perniagaan melalui PENJANA, antaranya menerusi geran padanan sebanyak RM140 juta yang akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan, pinjaman berjumlah RM700 juta kepada PKS untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.

Ini termasuk RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi; RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah; dan RM100 juta Geran Automasi Pintar yang memperuntukkan geran sehingga RM1 juta kepada syarkat yang layak.

Dalam usaha membantu kelangsungan PKS, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion sehingga RM500,000 bagi setiap PKS melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA. Ini adalah antara beberapa inisiatif yang dijelaskan di atas daripada begitu banyak inisiatif kerajaan di dalam PENJANA yang telah disediakan untuk membantu PKS khususnya dalam memperluaskan perniagaan melalui teknologi.

PKS diharap segera beralih kepada penggunaan teknologi dalam perniagaan dan merebut inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan, Selain itu, PKS juga perlu memastikan bahawa pengambilan pekerja adalah melibatkan rakyat Malaysia sahaja dan kerajaan wajar campur tangan dalam memastikan polisi ini berjaya.

Inisiatif daripada kerajaan ini tentu sekali tidak mencapai matlamat yang disasarkan oleh kerajaan sekiranya PKS mengambil pekerja asing untuk mengisi peluang pekerjaan di PKS masing-masing.

Pengambilan pekerja tempatan adalah antara jalan terbaik terhadap penyelesaian kepada pengurangan kadar pengangguran di Malaysia yang bakal meningkat akibat kesan pandemik COVID-19. Impak pengangguran perlu ditangani lebih awal kerana isu yang sensisitif ini boleh meningkatkan kadar masalah sosial dan boleh memberi kesan kepada indeks kesejahteraan rakyat Malaysia.

–BERNAMA

Profesor Dr. Azali Mohamed ialah Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )