PM Anwar dukung penuh titah Sultan Selangor berkaitan hal ehwal agama Islam

PM Anwar dukung penuh titah Sultan Selangor berkaitan hal ehwal agama Islam

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung penuh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook hari ini juga meminta mereka yang bukan beragama Islam untuk menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) jika mempunyai sebarang kemusykilan.

“…sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada MKI untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” menurut catatan itu.

Semalam, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Sultan Selangor turut bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam serta dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Justeru, baginda mengharapkan agar ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)