
Ketidaktentuan Tarif AS Undang Risiko kepada Ekonomi Malaysia – PM Anwar
BACHOK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan bahawa langkah Amerika Syarikat mengenakan tarif import timbal balas boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam ekosistem perdagangan antarabangsa dan memberi kesan langsung kepada Malaysia, khususnya dalam hubungan dagang dengan China.
Berucap di Pantai Irama sempena sambutan Aidilfitri MADANI, beliau menyatakan kebimbangan terhadap tarif baharu diumumkan Presiden Donald Trump pada awal April lalu yang memperkenalkan tarif asas 10% serta duti 24% terhadap negara tertentu termasuk Malaysia.
“Malaysia terkesan meskipun diberi pengecualian sementara kerana kesan kepada China akan turut menjejaskan kita,” ujar Anwar.
Sebagai negara yang ekonominya dipacu oleh eksport, katanya, Malaysia perlu bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan global dan memperkukuh kedudukan dagangan serantau untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa besar.