PM dimaklumkan perkembangan terkini koc kereta api elektrik KTMB, projek MRT2 di kilang Hyundai Rotem
BUSAN (Korea Selatan). Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat syarikat Korea Selatan Hyundai Rotem dan telah dimaklumkan perkembangan terkini mengenai kemajuan yang dilakukan syarikat itu dalam Projek MRT2 serta koc kereta api elektrik bagi KTMB.
MRT2 juga dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Kilang syarikat itu yang mengeluarkan gerabak kereta api, produk pertahanan, peralatan automotif dan loji terletak di Changwon, kira-kira 35 kilometer dari Busan.
Naib Pengerusi Hyundai Rotem, Dr Yoo-Cheol Woo menyambut kedatangan Dr Mahathir dan membawa perdana menteri melihat pelbagai teknologi kereta api terkini terutamanya penyelidikan dan pembangunannya dalam kereta api berkuasa hidrogen.
Syarikat itu merupakan pengeluar gerabak terbesar di Korea Selatan dan mengeksport produknya ke 36 negara serta berjaya menghasilkan banyak gerabak bagi kereta api metro, kereta api nasional dan kereta api berkelakuan tinggi.
Perdana menteri yang meluangkan masa kira-kira dua jam di kilang tersebut juga berpeluang memandu uji Hyundai Nexo, kenderaan utiliti sukan (SUV) berkuasa sel bahan api hidrogen.
Selain itu Dr Mahathir juga menyaksikan permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sapura Group dari Malaysia dan Hyundai Rotem bagi kerjasama menaik taraf teknologi berkaitan kereta api.
Beliau juga dimaklumkan perkembangan terkini tentang produk pertahanan Hyundai Rotem termasuk kenderaan perisai.
Ketua Pegawai Operasi Sapura Group, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata Sapura berhasrat untuk meningkatkan keupayaan dan teknologi berkaitan kereta api di Malaysia dan ASEAN.
Beliau mewakili Sapura menandatangani MoU itu manakala Yoo mewakili Hyundai Rotem.
Sapura merancang pelaburan langsung domestik (DDI) dalam teknologi sistem kereta api. Ia mempelawa Hyundai Rotem untuk membuat pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri Penyenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kereta api tempatan.
“Matlamat hari ini bagi Sapura adalah untuk bekerjasama dalam sistem kereta api dan elektronik agar kita boleh membangunkan sistem kita sendiri dan memindahkan teknologi ke Malaysia,” katanya.
Sapura telah mengenal pasti kawasan di Mentakab bagi persimpangan antara landasan kereta api KTMB dan ECRL bagi kemudahan itu.
— BERNAMA
Daripada Noor Soraya Mohd Jamal