PM Georgia umum letak jawatan

TBILISI, 18 Feb — Perdana Menteri Georgia Giorgi Gakharia pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya, lapor Agensi Berita Xinhua.

Gakharia dalam satu kenyataan berkata tindakan itu diambil berikutan gagal mencapai kesepakatan dengan parti pemerintah berhubung waran tangkap terhadap anggota parlimen dan ketua parti pembangkang United National Movement, Nika Melia.

Beliau merasakan tindakan menahan Melia tidak sesuai kerana boleh mengundang bahaya terhadap politik negara.

“Pendirian saya ialah keadilan harus ditegakkan, jika ia boleh mencetuskan bahaya kepada negara dan memburukkan lagi krisis politik, ia perlu dielakkan,” kata Gakharia pada satu taklimat.

Pada Rabu Mahkamah Bandar Tbilisi mengarahkan Melia ditahan selepas didapati gagal membayar jaminan.

Parlimen Georgia pada Selasa menggantung status anggota parlimen Melia, berhubung kait dengan tunjuk perasaan yang berlaku pada Jun 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )