PM seru ulama perlu berani buat teguran kepada kerajaan

PM seru ulama perlu berani buat teguran kepada kerajaan

SHAH ALAM,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru para ulama supaya berani membuat teguran kepada kerajaan demi mengangkat martabat negara dan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata kerajaan juga harus bersedia untuk mendengar teguran itu sebagaimana yang dianjurkan dua ulama terkenal iaitu Prof Dr Ali Jum’ah dan Habib Umar Hafidz yang menekankan agar teguran perlu dibuat secara baik dan terhormat.

Menurut Anwar kaedah menegur kerajaan yang disarankan kedua-dua ulama berkenaan bukannya dengan cara mencerca, memfitnah atau menghukum.

“Untuk para pimpinan pula, apabila dengar ulama bercakap dengan ikhlas dan berani menegur (perlu) diterima dengan baik dan menjawab dengan baik,” katanya pada Muzakarah Ulama-Umara di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata dalam sesetengah hal yang mungkin dipersetujui bersama, ia tidak dapat dilaksanakan kerajaan disebabkan keterbatasan yang ada selain tahap kefahaman umat dalam sesuatu perkara.

“Jadi kadang-kadang apa yang kita bicarakan itu ditafsirkan berbeda dan bukan kerana satu Uslub dan Ittijahat (kaedah dan aliran) dalam politik ini. Saya yakin Insya-Allah kita di landasan yang baik dan kita boleh angkat martabat umat (Islam) dan negara ini sesuai dengan cita-cita Balad (negara) Madani,” katanya.

Pada masa sama Perdana Menteri juga meminta Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menerbitkan semula Koleksi Hadis 40 Imam Nawawi untuk diedar kepada semua sekolah bagi memberi perkembangan ilmu kepada murid dan pelajar.
“Kalau baca hadis sahaja mungkin anak-anak kita tidak semuanya dapat menghadam dengan baik dan kita boleh tanya pandangan Dr Ali nanti, apa yang dicadang untuk diterbit dan diedar di seluruh negara,” katanya.

“Ini sekurang-kurangnya adalah sebagai hasil sambutan daripada pandangan Dr Ali dan Habib Umar tadi,” katanya.

Dr Ali, bekas Mufti Agung Mesir dan Pengasas Darul Musthafa Habib Umar dari Yaman merupakan tetamu khas bagi acara Muzakarah Ulama-Umara anjuran kerajaan Selangor hari ini yang menghimpunkan para pemimpin negara dan ulama dalam sebuah pertemuan yang amat jarang berlaku.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)