PM tiba di Busan bagi Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan
BUSAN,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pangkalan Udara Gimhae Busan hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019.
Pesawat khas membawa perdana menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di lapangan terbang itu pada 7.20 malam waktu tempatan Ahad (6.20 petang waktu Malaysia).
Ketibaan beliau di lapangan terbang itu disambut Naib Menteri Hal Ehwal Luar Korea Lee Tae-Ho dan Duta Korea Selatan di Malaysia Lee Chi-beom.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia di Korea Datuk Mohd Ashri Muda turut hadir.
Selain menghadiri sidang kemuncak peringatan itu, Dr Mahathir mempunyai jadual yang sangat padat di Korea, antaranya menghadiri mesyuarat dan temu bual media, termasuk Sesi Dialog di Sidang Kemuncak CEO 2019, Invest ASEAN dan Ekspo Pemula Niaga ASEAN-Korea Selatan.
Pada acara Dialog CEO anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Korea (KCCI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), perbincangan Dr Mahathir akan berkisar meliputi tema ‘Perkongsian Baharu bagi Kemakmuran Bersama Perniagaan Korea & ASEAN”.
Beliau juga dijadual melawat Pavilion Malaysia pada pameran Invest ASEAN dan Pameran Inovasi ASEAN-Korea Selatan.
Semasa di Busan, perdana menteri akan turut berkesempatan melawat Korea Aerospace Industry (KAI), Hyundai Rotem Changwon Factory dan Samsung Heavy Industries Goeje Shipyard untuk meninjau aset kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) terapung Petronas (PFLNG) 2.
Selepas sidang kemuncak itu, Dr Mahathir akan melakukan lawatan rasmi ke Seoul dari 27 hingga 28 Nov — lawatan rasmi pertama beliau ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan sebagai Perdana menteri ketujuh Malaysia pada Mei 2018.
— BERNAMA