
PM ziarah kediaman empat penerima bantuan kebajikan
KOTA KINABALU : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa menziarahi kediaman empat penerima bantuan kebajikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.
Sempena ziarah prihatin itu, Perdana Menteri turut menyerahkan bantuan kebajikan kepada keempat-empat mereka, Dayang Amit Budin, 82, Nur Elfi Hanum Ismail, 27, Nur Zawani Jesim, 25, dan Wong On Li @ Fauziah, 51.
Penerima bantuan pertama, Dayang Amit tinggal di Kg Sembulan Tengah adalah penerima Skim Bantuan Orang Tua RM500 sebulan semenjak 2017 dan tinggal bersama keluarganya.
Pada masa sama, beliau juga menghidap penyakit darah tinggi dan mengalami masalah pendengaran serta turut memerlukan separa bantuan daripada ahli keluarganya.
Nur Elfi yang turut tinggal di Kg Sembulan Tengah pula, penerima Skim Bantuan Am Negeri Sabah (SBANS) RM215 sebulan semenjak 2010 dan mengalami masalah pembelajaran (orang kelainan upaya – OKU) serta perlu dipantau keluarganya.
Penerima bantuan ketiga, Nur Zawani yang menetap di Rumah Pangsa Tanjung Aru juga penerima bantuan SBANS RM215 sebulan turut mengalami masalah serupa dengan Nur Elfi dan memerlukan pemantauan penuh keluarganya.
Manakala penerima sumbangan terakhir, Fauziah, yang turut tinggal di Rumah Pangsa Tanjung Aru adalah OKU yang mempunyai masalah pertuturan serta menetap dengan adik-beradiknya.
Fauziah yang turut menerima bantuan SBANS RM215 sebulan semenjak 2013 juga mengalami masalah kesihatan yang lain serta memerlukan rawatan secara berkala.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sr Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan UPPM Tanjung Aru Mohd Reduan Datuk Haji Aklee.
Utusan Borneo yang turut berada di lokasi mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang merakam gambar Perdana Menteri yang buat julung-julung kalinya dilihat melawat kediaman rakyat marhaen di Sembulan dan Tanjung Aru.
oleh : Amir Anuar