PMB Investment yakin catat AUM RM2 bilion menjelang akhir 2020

PMB Investment yakin catat AUM RM2 bilion menjelang akhir 2020

KUALA LUMPUR,. Anak syarikat milik penuh Pelaburan Mara Bhd (PMB), PMB Investment Bhd yakin dapat mencatatkan aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai RM2 bilion menjelang akhir 2020 berbanding RM1.33 bilion setakat Jun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata syarikat itu, yang pada masa ini menguruskan 16 dana, dijangka melancarkan dana baharu dengan ciri-ciri khusus pada penghujung tahun ini atas kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.

“Kami merekodkan peningkatan AUM yang ketara iaitu kira-kira 15 peratus sejak beberapa bulan lepas susulan mudah tunai yang tinggi dalam pasaran didorong kadar faedah rendah namun penebusan juga tinggi pada dua bulan lepas memandangkan dana kami memberikan pulangan yang baik.

“Kami yakin sasaran ini dapat dicapai kerana kami mempunyai pengurusan risiko yang baik. Lazimnya ramai akan melabur semula apabila harga turun dan kami berharap dapat mengawal penebusan itu,” katanya pada sidang media mengenai lima dana cemerlang PMB Investment di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Pengerusi PMB Datuk Azrulnizam Abdul Aziz dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Najmi berkata PMB Investment juga sedang mempertimbangkan bagi dana dagangan bursa (ETF) untuk disenaraikan di Amerika Syarikat pada suku pertama 2021.

“Kami melihat wujud potensi di sana memandangkan 10 dana utama didagangkan di pasaran global manakala bagi kedudukan ETF di rantau ini, khususnya Malaysia, masih tidak begitu kukuh disebabkan mudah tunai dan pemahaman mengenai dana ini,” katanya.

Najmi berkata pasaran sasaran syarikat terdiri daripada pelabur runcit dan korporat.

Beliau berkata PMB Investment juga mempergiat usaha pemasaran untuk menarik lebih ramai pembeli runcit.

Ia dilaksanakan dengan memberikan latihan meluas bagi menangani masalah pelabur secara peribadi di samping membantu bakal pelabur menentukan toleransi risiko terhadap pelbagai dana.

Dari segi korporat, PMB Investment telah menarik beberapa pelanggan korporat dan mereka sedang menunggu kelulusan daripada lembaga pengarah masing-masing, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Isnami Ahmad Mohtar berkata ketika ini pihaknya menguruskan 16 dana syariah dengan pelaburan dalam tiga kelas aset utama — ekuiti, sukuk dan pasaran wang.

“Kami mempunyai kira-kira 98,000 pemegang unit pelbagai bangsa dengan 80 peratus daripadanya ialah bumiputera dan 15 peratus lagi berbangsa Cina,” katanya.

Beliau berkata lima dana utama syarikat itu ialah PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD; PMB Shariah Growth Fundl; PMB Shariah Small-Cap Fund; PMB Dana Mutiara dan PMB Shariah Index menyediakan pulangan pada sembilan hingga 30 peratus.

“11 dana lain turut mencatatkan prestasi baik melebihi kadar pasaran dengan pulangan di antara tiga dengan lapan peratus,” katanya.

Mengenai unjuran pasaran ekuiti, beliau berkata pasaran saham berada pada keadaan terlebih beli pada masa ini.

Justeru, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka tidak banyak berubah pada suku ketiga 2020, susulan peningkatan 31.7 peratus daripada paras terendah 1,219.72 pada 19 Mac, 2020, katanya.

Isnami berkata bagaimanapun, kaunter sarung tangan dan teknologi terpilih akan kekal menjadi pilihan utama pelabur berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberikan amaran bahawa pandemik COVID-19 berpotensi menjadi lebih buruk sekiranya semua negara tidak mematuhi langkah pencegahan asas.

“Kami menjangka pasaran mencatatkan prestasi lebih baik pada suku keempat selepas tidak banyak berubah pada suku ketiga. Kami juga menjangka pelabur menambah saham pada suku keempat dengan harapan pasaran menjadi lebih baik pada 2021,” katanya.

Mengenai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar global 2021 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia iaitu masing-masing pada 5.4 peratus dan 4.2 peratus, beliau berkata pendapatan korporat daripada asas rendah pada 2020 turut dijangkakan mencatat pertumbuhan lebih baik tahun depan.

Beliau berkata persekitaran kadar faedah rendah yang dijangka kekal sehingga tahun depan yang mendorong mudah tunai tinggi, turut membantu melonjakkan pasaran.

“Menerusi beberapa langkah pemulihan, pasaran saham global termasuk Malaysia diunjurkan merekodkan prestasi lebih baik pada 2021,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )