PNB sumbang lebih RM23 juta bantu Malaysia perangi COVID-19

PNB sumbang lebih RM23 juta bantu Malaysia perangi COVID-19

KUALA LUMPUR, 13 April — Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan sumbangan lebih RM23 juta yang diberi dalam bentuk sumbangan dan bantuan sokongan bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan wabak COVID-19.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata PNB beriltizam untuk menghulurkan bantuan serta berganding bahu dengan pelbagai pihak bagi membendung pandemik tersebut.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua barisan hadapan perubatan memainkan peranan paling kritikal dan PNB berbesar hati dapat memberi sokongan dalam bentuk peralatan perubatan penting dan bantuan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zeti berkata PNB telah menyumbang kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN).

Bantuan kewangan juga disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pusat tersebut serta kepada institusi zakat bagi membantu rakyat Malaysia termasuk isi rumah B40 dan pekerja gaji harian yang terjejas akibat kehilangan pendapatan akibat penularan pandemik ini.

Antara yang disumbangkan kepada KKM ialah empat buah ventilator penjagaan intensif bernilai RM637,560, sumbangan RM3.1 juta kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah KKM untuk menaik taraf perkhidmatan ujian diagnostik serta RM1.97 juta kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk disalurkan kepada 21 hospital yang dikenal pasti KKM bagi tujuan bantuan lanjutan kepada barisan hadapan.

Syarikat hospitaliti PNB — Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd turut mengedarkan makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)-OKU Sentral serta badan-badan beruniform sebagai tanda penghargaan terhadap komiten yang diberikan.

“PNB turut akan memberikan pengecualian pembayaran sewa selama tiga bulan kepada 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penyewa di hartanah milik PNB, serta pengecualian pembayaran sewa kepada semua penyewa sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan,” kata Zeti.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)