Polis bongkar makmal proses ekstasi, rampas dadah bernilai RM11.8 juta

Polis bongkar makmal proses ekstasi, rampas dadah bernilai RM11.8 juta

BUKIT MERTAJAM,. Polis Pulau Pinang membongkar makmal memproses ekstasi selepas menahan tiga lelaki termasuk dua beradik serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.8 juta, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pauh Jaya, di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis menjalankan operasi bermula jam 9.30 pagi dengan mengekori sebuah kereta jenis Range Rover Evoque di Taman Pauh Jaya dinaiki dua lelaki hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak dua minggu lepas.

“Sebaik menyedari polis mengekori kereta mereka, pemandunya memecut laju sehingga merempuh kenderaan polis dalam usaha melarikan diri sebelum pasukan serbuan berjaya menahan dua lelaki berumur 33 dan 37 tahun selepas kereta mereka terbabas di Taman Sutera iaitu kira-kira tiga kilometer selepas pihak polis mengejar.

“Susulan penahan mereka, polis menyerbu sebuah rumah teres di kawasan Taman Pauh Jaya dan berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis esktasi yang telah beroperasi di situ sejak September tahun lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan di rumah itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 170,272 gram (g) methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 25,000 g serbuk kafein, 23,600 g pil ekstasi, 3,500 biji pil Erimin 5, 5,000 g jus MDMA dan 10 liter cecair alkohol serta tiga unit mesin khas membuat pil yang kesemuanya bernilai RM11.8 juta.

Sahabudin berkata susulan serbuan itu, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Sungai Petani dan menahan seorang lelaki berumur 30 tahun iaitu adik kepada suspek pertama yang berumur 33 tahun, pada 5.30 petang hari yang sama.

Katanya, siasatan awal mendapati dua lelaki pertama yang ditahan itu ‘pakar kimia’ kerana mempunyai kepakaran untuk memasak serta memproses ekstasi dan kedua-duanya mereka positif dadah serta mempunyai dua rekod lampau juga berkaitan dadah.

“Siasatan polis juga mendapati sindiket itu menyewa rumah di kawasan perumahan elit tersebut bagi memproses dadah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, setiap pil esktasi yang dihasilkan dijual kepada rangkaian sindiket dengan harga RM5 hingga RM10 setiap biji sebelum dijual semula kepada pelanggan RM25 hingga RM35 bagi setiap biji,” katanya.

Sahabudin berkata selain itu, sindiket terbabit juga turut menghasilkan jus MDMA iaitu dengan membungkus semula dalam pek minuman segera jenis 3 dalam 1 dan setiap pek dijual bermula RM250 hingga RM300 untuk pasaran pusat hiburan.

“Polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai rangkaian di luar negara dan semua dadah yang mereka proses adalah pasaran dalam negara. Setiap pil ekstasi yang diproses mereka dibuat mengikut warna ditetapkan sindiket yang mahu membelinya kerana ia menandakan kawasan jualan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Kawasaki Z800 bernilai RM27,000 dan enam kenderaan mewah bernilai RM491,000 dengan empat daripadanya iaitu Toyota Camry, Subaru, Honda Odyssey serta Mercedes Benz dimiliki warga Thailand.

Menurutnya, tiga lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua dadah dirampas tersebut boleh digunakan oleh 651,135 penagih dadah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )