Polis cari empat suspek warga Arab disyaki curi barang kemas

Polis cari empat suspek warga Arab disyaki curi barang kemas

BATU PAHAT,. Polis sedang mencari dua lelaki dan dua wanita dipercayai berbangsa Arab selepas terlibat dalam kejadian curi barang kemas dianggarkan bernilai RM24,000 di sebuah kedai emas di bandar ini, kira-kira jam 3 petang Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim berkata kejadian berlaku apabila dua suspek perempuan masuk ke kedai emas berkenaan dan berpura-pura untuk membeli barang kemas di kedai tersebut.

Azhan berkata suspek kemudiannya meminta pekerja kedai untuk mengeluarkan beberapa rantai emas dan dalam masa yang sama mengalih tumpuan pekerja tersebut bagi mengambil kesempatan bagi mencuri tiga utas rantai emas.

“Kedua-dua suspek berkenaan kemudian keluar dari kedai emas dengan memberikan alasan untuk menukar wang dari kedai pengurup wang berhampiran sementara dua lelaki yang tidak dikenal pasti menunggu di luar premis.

“Kehilangan rantai emas berkenaan hanya disedari ketika pemeriksaan stok dilakukan dan laporan dilakukan pada 3.15 petang, hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh berhubung di balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melalui talian 07-436 3300. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )