Polis Jempol tahan dua tokan dadah, rampas heroin bernilai RM11,160

Polis Jempol tahan dua tokan dadah, rampas heroin bernilai RM11,160

JEMPOL,. Polis menahan dua tokan dadah dalam serbuan berasingan di Felda Lui Selatan 2, semalam dan Ladang Gaddes hari ini serta merampas dadah jenis heroin dengan berat keseluruhan 223.8 gram bernilai RM11,160.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Mohd Khairiel Mohd Arif berkata mereka ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dalam operasi khas Op Tapis di Felda Lui Selatan 2.

“Operasi ini bermula pada 3 petang semalam dan sebuah rumah yang menjadi lokasi pengedaran dadah jenis heroin telah diserbu sekitar 5 petang. Dalam serbuan ini, seorang tokan dadah dan seorang penagih masing-masing berusia 38 tahun, ditahan.

“Sebanyak 67.80 gram dadah jenis heroin berjaya dirampas daripada tokan tersebut manakala dadah heroin seberat 0.60 gram dirampas daripada penagih dadah terbabit dengan nilai rampasan sebanyak RM3,390,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Tokan dadah itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan sementara penagih itu disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Khairiel berkata tindakan susulan menyaksikan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun ditahan hari ini di sebuah rumah di Bahagian Rumah Baru, Ladang Gaddes pada 12.30 tengah hari tadi.

Suspek ini dipercayai tokan dadah di kawasan Ladang Gaddes dan pemeriksaan polis ke atasnya menemukan dua paket besar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 155.40 gram dianggar bernilai RM7,770.

“Suspek yang berasal dari Perak ini juga disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana turut positif dadah,” katanya.

Beliau menegaskan operasi digerakkan semasa negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi memberi mesej jelas kepada pengedar dan penagih bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekalipun ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )