Polis Johor lupus dadah bernilai RM5.43 juta

Polis Johor lupus dadah bernilai RM5.43 juta

JOHOR BAHRU,. Polis Johor akan melupuskan sebanyak 322.13 kilogram (kg) dan 1,562.6 liter dadah bernilai RM5.43 juta, yang dirampas dari tahun 2000 sehingga tahun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata proses pelupusan itu akan dilakukan hari ini di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Beliau berkata antara dadah yang dilupuskan ialah heroin sebanyak 19.42kg, kanabis (28.38kg), ketamin (15.04kg) dan daun ketum (236.43kg).

“Menerusi pelupusan ini, sejumlah 3,214 kes telah diselesaikan bagi tempoh antara tahun 2000 sehingga 2022,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Sementara itu Kamarul Zaman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah merampas sebanyak 4.65 tan dadah bernilai RM33.77 juta dan sitaan harta RM13.15 juta sejak Januari tahun ini sehingga 20 Nov lepas.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, 15,167 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

Kamarul Zaman berkata JSJN Johor sentiasa komited dan agresif melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, sekali gus membawa kepada pelbagai kejayaan tangkapan dan rampasan sindiket dadah.

Justeru beliau berharap masyarakat dapat terus bekerjasama dalam memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)