Polis Johor rampas pelbagai dadah bernilai RM5.06 juta

Polis Johor rampas pelbagai dadah bernilai RM5.06 juta

JOHOR BAHRU,. Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.06 juta menerusi serbuan di sebuah kilang pelupusan barang terpakai, yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Seri Alam, di sini, akhir bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pithcay berkata, kejayaan rampasan itu adalah hasil maklumat pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas kilang berkenaan terbakar, pada jam 9.40 malam 31 Januari, sekali gus membawa kepada pene-muan peralatan memproses dadah dan sejumlah barang terlarang terbabit.

Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas membabitkan 30 kilogram (kg) ketamin bernilai RM1.65 juta, 100 liter cecair disyaki dadah bernilai RM3.3 juta, dua kg serbuk disyaki dadah bernilai RM110,000, mesin serta peralatan memproses dadah.

Katanya, berdasarkan maklumat lanjut, polis kemudian menahan enam lelaki tempatan berumur antara 34 dan 48 tahun di sekitar bandar raya ini pada malam yang sama, yang dipercayai terlibat dengan sindiket pemprosesan dadah berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa kilang untuk dijadikan makmal haram memproses dadah. Hasil maklumat turut men-dedahkan bahawa sindiket ini sudah beroperasi sejak sebulan lepas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Ayob Khan berkata, selain itu pihaknya turut menyi-ta enam kereta bernilai RM398,000, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz bernilai RM4,000, dua jam tangan jenama Fossil dan Citizen bernilai RM1,300, wang tunai RM6,400, 15 barangan kemas bernilai RM59,220, lima akaun bank dengan nilai sitaan RM873,042.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua lelaki terbabit negatif terhadap dadah, namun lima daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kesemua mereka kini masih direman sehingga hari ini (7 Februa-ri) untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau dalam masa sama menjelaskan, pihaknya sedang memburu empat lelaki dan seorang wanita tempatan yang mana seorang daripadanya merupakan dalang sindiket itu yang masih bebas.

Menurutnya, kesemua yang diburu itu adalah Ooi Kerh Chi, 40, dan Cheong Kerh Chi, 39, yang mana kedua-duanya beralamat terakhir di Jalan Lembing 28, Taman Puteri Wangsa, di sini, Ng Hoon Guan, 45, dan Chua Lee Yee, 33, beralamat terakhir di Jalan Daisi, Taman Plentong Utama, di sini, serta S.Steven, 46, yang beralamat terakhir di Jalan Angsana 4, Taman Rin-ting, di sini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )