Polis Melaka tumpaskan ‘Geng Ayip Gagap’ curi motosikal

MELAKA,. ‘Geng Ayip Gagap’ yang aktif melakukan jenayah curi motosikal di sekitar daerah Melaka Tengah sejak September lepas, tumpas susulan penahanan tujuh ahli kumpulan itu termasuk dua adik-beradik dan seorang pelajar Universiti Awam (UA).

Ketua Polis Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, kesemua ahli kumpulan yang berusia 19 hingga 32 tahun itu, ditahan secara berperingkat di sekitar Melaka bermula 29 Oktober hingga 5 November lepas.

Beliau berkata, geng itu dike-tuai penganggur berusia 24 tahun dikenali sebagai Ayip Gagap, dan merupakan suspek utama jenayah curi motosikal yang menyasarkan Honda EX5 dan C70 yang diparkir di kawasan sunyi, di sekitar taman perumahan dan rumah ibadah.

“Tangkapan pertama melibatkan supek utama geng berkenaan iaitu Ayip yang ditahan di sebuah rumah flat di Padang Jambu, Bukit Baru kira-kira jam 9 malam pada 29 Oktober lepas. Suspek mempunyai rekod jenayah lampau curi motosikal, pecah rumah dan jenayah keganasan, selain positif dadah ketika ditahan.

“Berdasarkan siasatan awal, Ayip akan bergerak sendiri bagi mencari motosikal yang berpotensi dicuri. Motosikal dan komponen yang dile-raikan akan disembunyikan di sebuah rumah transit milik keluarga suspek di Peringgit Jaya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.

Beliau berkata, komponen motosikal yang dileraikan akan dijual secara dalam ta-lian di laman sosial Facebook dan dihantar melalui pos, manakala terdapat sebahagian komponen yang dibuang ke dalam sungai di Bukit Rambai bagi mengelak dikesan polis.

Katanya, aktiviti jenayah itu dibantu dua adik-beradik berusia 27 dan 32 tahun yang berperanan sebagai pembeli dan meleraikan komponen motosikal itu, sebelum dijual.

Afzanizar berkata, kedua-dua beradik itu ditahan kira-kira 4 pagi di Taman Rambai Utama pada 30 Oktober, disusuli tangkapan keempat seorang pelajar UA berusia 19 tahun yang berperanan sebagai penghantar komponen motosikal yang dileraikan, di Taman Seri Cempaka kira-kira 9 malam, pada hari sama.

Beliau berkata, tiga lagi suspek termasuk dua mekanik berusia 23 dan 25 tahun pula ditahan pada 4 dan 5 November di sekitar Lendu, Bukit Katil dan Jasin.

“Kita percaya dengan tumpasnya Geng Ayip Gagap, sebanyak 13 kes curi motosikal di daerah Melaka Tengah berjaya diselesaikan dan siasatan awal mendapati jumlah kerugian semua mangsa terlibat dianggarkan kira-kira RM40,000,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan setakat ini tiga dibebaskan dengan dengan jaminan polis manakala empat lagi suspek masih ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )