Polis Pahang rampas dadah bernilai RM3.4 juta setakat Jun

Polis Pahang rampas dadah bernilai RM3.4 juta setakat Jun

KUANTAN,. Polis Pahang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.4 juta dan menyita harta berkaitan kesalahan dadah berjumlah RM3.96 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata bagi tempoh sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang telah menahan 5,311 individu bagi kesalahan berkaitan dadah dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,569.

“Usaha berterusan akan dilakukan bagi membasmi masalah dadah di Pahang menerusi tindakan penguatkuasaan lebih komprehensif dan berterusan di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta di sarang penagihan baharu atau yang telah dikenal pasti,” katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam yang turut dihadiri Ketua JSJN Pahang Supt Mohd Azam Ab Razak.

Pada sidang media itu, Ramli mengumumkan kejayaan polis melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah sekitar Felda di Rompin dan Bera dengan penahanan empat lelaki termasuk dua Orang Asli bersama heroin dianggarkan seberat 4.63 kilogram bernilai RM51,500 di Rompin pada 3 Julai lepas.

Suspek warga tempatan yang berusia antara 30 dan 47 tahun dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas, dengan mendapatkan bekalan dari Lembah Klang.

“Suspek pertama yang merupakan penyelia ladang ditahan kira-kira 4 petang di tepi Jalan Kuantan-Seremban dipercayai sedang menunggu pelanggan kerana berada di luar kenderaan pacuan empat roda dinaikinya dengan memegang bungkusan dipercayai berisi dadah.

“Tangkapan itu membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di bandar Muadzam Shah dan pemeriksaan di dalam kereta dinaiki mereka menemukan dadah yang disembunyikan di dalam bungkusan surat khabar,” katanya.

Ramli berkata ujian saringan awal mendapati semua suspek positif dadah manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau temasuk dadah dan jenayah.

Dadah yang dirampas dipercayai boleh dibekalkan kepada 9,270 penagih.

Semua suspek kini direman hingga 10 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)