Polis Perak rampas 4.5 kilogram dadah, tahan pengedar tepi ladang sawit

Polis Perak rampas 4.5 kilogram dadah, tahan pengedar tepi ladang sawit

IPOH,. Polis merampas dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram bernilai RM158,203 selepas menahan seorang lelaki tempatan yang sedang berjalan sambil membawa sebuah beg dalam keadaan mencurigakan di tepi kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Teluk Intan-Bidor, Hilir Perak, Rabu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 7 petang itu, lelaki berusia 39 tahun tersebut ditahan ketika sedang dalam perjalanan ke suatu tempat dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin diisi dalam beg yang dibawanya.

Beliau berkata suspek terlibat dengan sindiket pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas dan polis sedang giat mengesan ahli-ahli sindiket yang lain, di samping menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah ini yang disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan, boleh digunakan oleh kira-kira 10,000 orang penagih,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki tersebut juga positif dadah jenis morphine, selain mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Katanya tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila polis turut menyita sebuah motosikal bernilai kira-kira RM2,000 yang dirampas di satu lokasi berasingan.

“Suspek direman enam hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )