Polis tahan 11 lelaki, rampas dadah bernilai RM34.1 juta

Polis tahan 11 lelaki, rampas dadah bernilai RM34.1 juta

BUKIT MERTAJAM,. Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah selepas menahan 11 lelaki bersama dengan pelbagai jenis dadah bernilai RM34.1 juta dalam serbuan di Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada 3 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kesemua lelaki berumur lingkungan 22 hingga 58 tahun itu ditahan dalam enam serbuan di ketiga-tiga negeri bermula 12.40 tengah malam hingga 6.20 pagi.

“Bertindak hasil maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan dua lelaki sedang memindahkan sejumlah kotak di tepi jalan di kawasan Perindustrian Bukit Minyak ke dalam sebuah kepala lori treler dan pemeriksaan awal polis menemukan pelbagai seluar jean di bahagian atas dalam kotak tersebut.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemukan kira-kira 1,000 bungkusan dadah jenis ‘heroin base’ dan heroin nombor tiga seberat 367.71 kilogram (kg) yang bernilai RM34.1 juta, sindiket itu cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan seluar jean di bahagian atas manakala dadah di bahagian bawah dalam kotak tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata semasa serbuan, sebahagian dadah terbabit berada di dalam kepala lori treler manakala selebihnya berhampiran kenderaan itu dan siasatan awal mendapati kesemua dadah dipercayai dibawa masuk dari negara jiran sebelum dibawa ke Pulau Pinang.

Razarudin berkata susulan penahanan kedua-dua lelaki, polis menyerbu lima lagi lokasi di Pulau Pinang, Kedah dan Perak sebelum menahan sembilan individu termasuk ketua sindiket yang berusia 42 tahun di Ipoh, Perak yang merupakan pemilik sebuah syarikat katering.

Katanya siasatan juga mendapati sindiket itu memiliki rangkaian di luar negara dan telah beroperasi sejak 18 bulan lepas dengan pasaran di Pulau Pinang, Kedah serta Perlis selain mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan.

Beliau berkata setiap kotak yang dirampas mengandungi 82 hingga 84 bungkus dadah ‘heroin base’ dan setiap bungkusan ‘heroin base’ itu jika diproses mampu menghasilkan sehingga 7 kg heroin nombor tiga.

“Dalam siri serbuan itu, polis menyita tujuh kereta mewah antaranya Toyota Velfire, Range Rover Velar, kepala lori treler Chevrolet Colorado, Honda Civic, Mercedes Benz yang kesemuanya bernilai hampir RM1 juta, barangan kemas serta wang tunai RM34,600.

“Polis turut menyita 20 akaun bank milik rangkaian sindiket tersebut yang kesemuanya bernilai kira-kira RM10 juta termasuk RM6 juta milik ketua sindiket berkenaan,” katanya.

Razarudin berkata seorang daripada suspek positif dadah manakala lapan lagi mempunyai pelbagai rekod lampau dan kesemuanya kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata antara yang ditahan ialah pemandu lori, bekerja sendiri serta pekerja katering dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan.

“Sejak awal Januari ini hingga Julai lepas, polis telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.3 bilion iaitu meningkat 209 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan kejayaan rampasan ‘heroin base’ itu juga merupakan yang terbesar pada tahun ini,” katanya.

Razarudin juga berkata walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, sindiket itu mempunyai pelbagai taktik tersendiri untuk mengedar dadah namun dengan operasi dan risikan berterusan, polis berjaya membongkar kegiatan mereka serta merampas semua bahan terlarang tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)