Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM14.9 juta

Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM14.9 juta

SHAH ALAM,. Polis menahan dua lelaki tempatan bersama 451.215 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM14.9 juta hasil serbuan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda di Rawang pada Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia 22 dan 33 tahun disyaki bekerja sebagai transporter itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 12.55 tengah hari.

“Hasil serbuan terhadap kenderaan jenis Nissan Navara itu menemukan 10 bungkusan guni putih yang mengandungi sejumlah 503 bungkusan plastik berwarna keemasan disyaki mengandungi dadah dan dipercayai akan dipasarkan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek diberikan bayaran sekitar RM10,000 bagi penghantaran dadah dipercayai berasal dari negara jiran dan mereka membawa dadah itu dari Kelantan ke Selangor.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap dua suspek adalah negatif bagaimanapun kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 39A(1); 12(2);15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Sementara itu, mengenai kes letupan yang berlaku hingga menyebabkan bumbung sebuah kereta Perodua Myvi berlubang di hadapan sebuah rumah di Padang Jawa pada 17 Feb lepas, Hussein berkata hasil awal siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada masalah peribadi.

Berkenaan laporan polis berhubung dakwaan pembabitan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa menerima projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus daripada kerajaan negeri, beliau berkata kes tersebut diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

”Kita tidak kata ada kes, tapi dalam laporan polis yang dibuat itu mempunyai elemen rasuah jadi kes itu diserahkan kepada pihak SPRM,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A Anbalagan mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan yang dibuat Ketua Penerangan Perikatan Nasional Selangor, Mohd Shukor Mustaffa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )