Polis tahan tujuh lelaki curi 66 mesin Bitcoin bernilai lebih RM50,000

Polis tahan tujuh lelaki curi 66 mesin Bitcoin bernilai lebih RM50,000

 

KUANTAN,. Polis menahan tujuh lelaki tempatan yang dipercayai mencuri 66 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai lebih RM50,000 di sebuah premis di Sungai Karang Pantai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kesemua suspek berusia lingkungan 22 dan 37 tahun ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Beserah yang sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit pada kira-kira jam 3 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai telah memecah masuk premis tersebut untuk mencuri mesin bitcoin.

“Kesemua suspek yang berasal dari Kuantan diberkas ketika sedang mengangkat mesin bitcoin itu untuk dipindahkan ke dalam sebuah lori.

ACP Mohamad (tengah) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Kuantan semalam.– Gambar BERNAMA

“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif tindakan itu dilakukan dan ke mana barang-barang ini akan dihantar… kita akan mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini.

Mohamad Noor berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah termasuk dadah.

“Selain mesin bitcoin, polis merampas sebuah lori, kereta dan peralatan pecah rumah. Kesemua suspek direman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seskyen 28(1)(i) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya sambil menambah ketujuh-tujuh lelaki turut dikompaun RM2,000 seorang kerana melakukan kesalahan berkumpul di tempat awam.

Beliau juga berkata sebanyak 39 kompaun telah dikeluarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 10 Mei hingga semalam antaranya bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka, merentas negeri tanpa kebenaran dan tidak mengimbas kod QR MySejahtera.

Katanya terdapat cadangan bagi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di Kuantan dan ia telah dibentang namun masih menunggu kelulusan kerajaan negeri dan persekutuan.

Mohamad Noor juga memaklumkan bahawa tujuh anggota polis yang bertugas di Kompleks Mahkamah Kuantan dan mengiringi Orang Kena Tuduh (OKT) yang didapati positif COVID-19 pada Isnin telah dikuarantin selama 10 hari.

Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)