Polis Terima Laporan Penghuni Selangor Mansion Baling Objek Keras Kepada Tentera

Polis Terima Laporan Penghuni Selangor Mansion Baling Objek Keras Kepada Tentera

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion, di sini, yang membaling objek seperti botol, bungkusan sampah serta pasu bunga, terhadap anggota tentera yang bertugas memasang ‘concertina wire’ di kawasan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, laporan polis dibuat oleh pengadu kerana anggotanya, memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang laporan polis diterima berkenaan kejadian anggota tentera dibaling dengan air kencing warga asing, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan bertajuk ‘Askar pakai helmet, elak air kencing warga asing’.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, manakala keadaan keselamatan di kawasan terlibat adalah terkawal. Selain itu, pemakaian ‘helmet’ oleh anggota tentera adalah mengikut Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu cuba mendatangkan cedera kepada penjawat awam dengan membaling botol dan pasu bunga,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mazlan berkata, rakaman percakapan pengadu telah dibuat dan siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penghuni yang didapati terlibat dalam kes yang dilaporkan itu.

“Kami amat mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat, boleh menghubungi ‘Hotline’ Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menafikan dakwaan seperti yang tular di media sosial mengatakan, anggota tentera bertugas di bangunan berkenaan memakai topi keledar untuk elak air kencing warga asing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)