Polis terpaksa lepaskan tembakan ketika gagalkan cubaan edar dadah – Mazlan Lazim

Polis terpaksa lepaskan tembakan ketika gagalkan cubaan edar dadah – Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR,. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi menahan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk mengedar dadah di Jalan Sentul di sini petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah dan bertindak menahan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun.

Beliau berkata anggota polis cuba menghentikan kereta itu dan memperkenalkan diri serta meminta suspek keluar dari kenderaan namun lelaki tersebut bertindak agresif.

“Suspek telah cuba untuk melepaskan diri dengan mengundurkan kereta sebanyak tiga kali dan melanggar kereta peronda polis tidak berlambang serta cuba melanggar polis.

“Berikutan itu pihak polis telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan di bahagian tayar belakang sebelah kanan dan tayar hadapan kereta suspek demi mempertahankan diri serta untuk memberhentikan kenderaan supaya tidak membahayakan orang awam yang lain,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mazlan berkata bagaimanapun, suspek masih cuba meloloskan diri dengan memandu ke atas tebing di sebelah jalan dan polis telah melepaskan tembakan di bahagian tayar hadapan sebelah kiri kereta suspek sekali gus berjaya menghentikan kenderaan tersebut.

“Suspek ditahan sebaik sahaja menyerah diri. Suspek bekerja sebagai pembantu kedai runcit serta tiada kecederaan yang berlaku kepada pihak polis dan suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek, pihak menjumpai dadah jenis heroin seberat 450 gram dan dadah jenis syabu seberat 151 gram di bawah kerusi penumpang bahagian hadapan kereta suspek,” katanya.

Beliau berkata hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif metamfetamin dan amfetamin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya sambil menambah permohonan reman suspek akan dibuat hari ini.

Mazlan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)