Polis Thailand mohon maaf insiden petugas media cedera terkena peluru getah

Polis Thailand mohon maaf insiden petugas media cedera terkena peluru getah

BANGKOK: Polis Thailand memohon maaf berhubung insiden petugas media terkena tembakan peluru getah ketika membuat liputan protes antikerajaan dekat Sanam Luang di sini pada Sabtu malam.

Timbalan Ketua Polis Metropolitan Pol MejarJen. Piya Tawichai berkata polis telah memberi amaran kepada wakil media agar meninggalkan kawasan itu sebelum melepaskan tembakan peluru getah.
“Polis Diraja Thailand ingin memohon maaf atas kejadian itu yang menyebabkan seorang wartawan dimasukkan ke hospital,” katanya dipetik oleh akhbar tempatan The Nation.

Sementara itu, jurucakap Polis Diraja Thailand Pol Jen. Krisana Pattanacharoen menggesa wakil media yang membuat liputan protes agar mematuhi perintah dan arahan polis termasuk memakai peralatan perlindungan.

Sabtu lepas, protes antikerajaan di Thailand bertukar ganas apabila polis melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan orang ramai yang berhimpun berhampiran Sanam Luang, dekat Istana Besar di Bangkok.

Sekurang-kurangnya 32 orang cedera apabila kumpulan penunjuk perasaan terbabit bertembung dengan polis selain 20 orang ditahan kerana melanggar peraturan perhimpunan awam di bawah dekri darurat.
Media tempatan melaporkan bahawa beberapa wakil media dan jurugambar cedera termasuk seorang wartawan terpaksa dimasukkan ke hospital selepas terkena tembakan peluru getah di kepala.
Sementara itu, Jawatankuasa Profesional Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) berkata ia ‘sangat bimbang’ dengan kecederaan disebabkan peluru getah yang dialami oleh beberapa warga media yang membuat liputan tunjuk perasaan tersebut.

FCCT menerusi kenyataannya mendesak pihak berkuasa Thailand mengkaji semula prosedur bagi mengawal orang ramai susulan kecederaan yang dilihat pada malam Sabtu serta memastikan tiada kekerasan dilakukan terhadap wakil media yang bertugas.

“Kami menyokong penuh perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan bersama oleh enam persatuan media Thailand serta menggesa pihak berkuasa Thailand mengiktiraf bahawa petugas media yang membuat liputan tentang protes itu hanya menjalankan tugas mereka, justeru tidak harus dijadikan sasaran,” katanya.

Memetik garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penggunaan pendekatan tidak berbahaya, FCCT berkata penggunaan senjata kurang berbahaya untuk menyuraikan perhimpunan merupakan taktik semberono dan seharusnya ditimbang sebagai jalan terakhir.

Katanya garis panduan itu menyatakan peluru getah hanya boleh disasarkan ke bahagian bawah badan individu yang dikenal pasti menimbulkan risiko tertentu dan tidak boleh sama sekali ditujukan ke bahagian kepala.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )