Polis tumpas sindiket pelacuran, tahan 11 wanita

Polis tumpas sindiket pelacuran, tahan 11 wanita

BUKIT MERTAJAM,. Polis menumpaskan satu sindiket pelacuran susulan penahanan 11 wanita termasuk lapan warga asing dalam siri serbuan di hotel bajet di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Simpang Ampat, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata hasil risikan dan intipan dijalankan polis sejak seminggu lepas, pihaknya melakukan serbuan di empat hotel bajet dan menahan tiga wanita tempatan serta lapan wanita warga asing yang kesemuanya berusia 25 hingga 37 tahun.

“Serbuan Ops Noda Bersepadu itu bermula pukul 3 petang semalam dan hasil pemeriksaan semua wanita yang ditahan itu dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran dengan menawarkan khidmat seks di sekitar kawasan tanah besar negeri ini.

“Modus operandi mereka ialah menawarkan iklan pelacuran di aplikasi WeChat sebelum pelanggan datang ke hotel bajet dan pelacur yang ditempah menunggu di bilik untuk memberikan “perkhidmatan” dengan bayaran RM120 hingga RM200 bagi setiap sesi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lapan wanita warga asing itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Vietnam, yang sebahagian daripada mereka tiada dokumen perjalanan diri serta menyalah guna permit kerja, dan menurutnya polis turut menahan dua lelaki berusia 30-an yang merupakan pelanggan dan penjaga hotel bagi membantu siasatan.

“Selain itu, pengusaha hotel bajet juga akan dikenakan kompaun menurut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan semua yang ditahan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)