
Polis tumpas sindiket utama seludup kokain ke Eropah
MADRID: Europol kelmarin berkata sebuah sindiket utama yang menyeludup dadah ke Eropah telah ditumpaskan hasil daripada siasatan yang menyaksikan penangkapan 40 suspek dan rampasan lapan tan kokain.
Pasukan polis Eropah yang berpusat di Hague itu menyatakan seluruh kartel, yang mana pemimpinnya berpusat di Turkiye dan Dubai, telah menerima pukulan besar selepas satu set penahanan terakhir pada Rabu.
Operasi besar selama tiga tahun itu melibatkan pasukan polis dari 12 negara dan meliputi dari Brazil ke Sepanyol melalui Turkiye.
Menurut Europol, fasa terakhir operasi itu bermula dengan penemuan kokain seberat 700 kilo pada Ogos 2023 oleh Guardia Civil Sepanyol dalam sebuah bot di luar Canary Islands, yang dikendalikan oleh rakyat Croat dan Itali.
Selepas bertukar maklumat dengan pasukan polis lain, penyiasat menemui hubungan dengan rampasan lain yang membawa kepada pengenalpastian dalang utamanya.
Secara keseluruhan, 40 orang telah ditangkap di enam negara, termasuk dua anggota kanan Croat dalam sindiket tersebut, yang diberkas pada hujung 2023 di Istanbul.
Empat tangkapan terakhir berlaku pada Rabu di Sepanyol, menurut Europol.
Dalam satu operasi yang disaksikan oleh seorang wartawan AFP, lelaki bersenjata berat dari Guardia Civil Sepanyol telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun pada awal pagi di rumahnya berhampiran Marbella, sebuah pusat peranginan tepi pantai popular di kalangan pengedar dadah.
Penyeludup membawa kokain dari Amerika Selatan ke hab logistik di barat Afrika dan Canary Islands.
Dadah itu kemudian dihantar ke pusat-pusat di Belgium, Croatia, Jerman, Itali dan Sepanyol untuk pengagihan di sekitar Eropah.
Sebahagian besar aset sindiket dadah, dengan nilai keseluruhan sebanyak puluhan juta euro, telah dirampas atau dibekukan, tambah Europol.
— Agensi