PR1MA bakal menjadi sebahagian Perbadanan Perumahan Negara – Zuraida

PR1MA bakal menjadi sebahagian Perbadanan Perumahan Negara – Zuraida

PUTRAJAYA,. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang menjadikan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sebahagian daripada Perbadanan Perumahan Negara bagi memastikan industri perumahan terpusat dan standard serta memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin yang menafikan dakwaan PR1MA bakal dibubarkan tidak lama lagi, berkata kerajaan sebaliknya melihat ke hadapan untuk perbadanan itu, antaranya projek perumahan di bawah Kementerian Pendidikan dan Pertahanan serta generasi baharu Felda akan diletakkan di bawah PR1MA.

“Kerajaan berharap dapat menggerakkan PR1MA seperti Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah menyelesaikan beberapa masalah PR1MA termasuk unit yang tidak terjual.

Semasa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 bermula 1 Mac hingga 31 Dis 2019, PR1MA menjual 9,306 unit dan memperoleh 19,170 tempahan katanya.

PR1MA ditubuhkan di bawah kerajaan terdahulu melalui Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menyelenggara perumahan berkualiti tinggi dengan konsep gaya hidup untuk isi rumah berpendapatan sederhana di pusat bandar utama dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan, ia meletakkan PR1MA di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )