Premis makanan dibenar di Kedah operasi sepanjang Ramadan
ALOR SETAR,. Semua premis makanan dan minuman Muslim, di negeri ini dibenarkan beroperasi pada jam 3 petang hingga 8 malam sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri,
Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata tempoh operasi itu tertakluk kepada pentadbiran dan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing berdasarkan situasi semasa.
Katanya, ia susulan kerajaan negeri membatalkan operasi bazar Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bagaimanapun, premis makanan dan minuman yang dibenarkan operasi dikehendaki menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran makanan yang berdaftar, selain perlu menitik beratkan kebersihan penyediaan makanan.
“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri saya sudah berbincang dan akan bekerjasama dengan Syarikat Foodpanda Malaysia Sdn Bhd, Sumhero Sdn Bhd (OdaMakan) dan Go Eat Sdn Bhd serta mengalu-alukan syarikat berkaitan yang sudi berkerjasama untuk menjayakan agenda ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asmirul berkata bagi peniaga yang menggunakan penghantaran sendiriboleh memohon surat kebenaran kepada PBT masing-masing mengikut syarat yang ditetapkan.
Justeru, pihaknya berharap usaha berkenaan dapat membantu memastikan kelangsungan ekonomi di negeri Kedah, terutamanya usahawan dalam memasarkan produk mereka.
“Peniaga dan usahawan di negeri ini perlu bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa agar perniagaan mereka dapat berdaya saing dan maju,”katanya.