![Presiden FIFA disyaki campur tangan hentikan siasatan Presiden FIFA disyaki campur tangan hentikan siasatan](https://gerbangpost.com/wp-content/uploads/2020/04/28infaa_1522083311-e1588043577928.jpg)
Presiden FIFA disyaki campur tangan hentikan siasatan
LAUSANNE,. Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino disyaki cuba campur tangan bagi menghentikan siasatan yang dijalankan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) ke atas dirinya, lapor akhbar Switzerland.
OAG pada awal 2016, tidak lama selepas Infantino dilantik sebagai presiden badan induk bola sepak dunia itu memulakan siasatan berhubung pemberian kontrak hak penyiaran televisyen kepada syarikat luar pesisir ketika dia memegang jawatan Pengarah Undang-Undang Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Menurut akhbar Tribune de Geneve, Infantino bimbang dengan siasatan berkenaan dan menulis emel kepada rakan lamanya, Rinaldo Arnold yang juga Pendakwa Raya Kanan Wilayah Haut-Valais di Switzerland iaitu tempat mereka membesar.
“Saya akan cuba untuk menjelaskan kepada OAG yang semua ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana sudah jelas dinyatakan saya tidak ada kena mengena dengan perkara ini,” tulis Infantino seperti yang dipetik akhbar berkenaan.
Arnold yang membantu mengatur pertemuan pertama antara Infantino dan Peguam Negara, Michael Lauber, membalasnya: “Apa yang paling penting adalah pertemuan dalam tempoh dua minggu lagi. Jika anda mahu, saya boleh menemani anda sekali lagi.”
Menurut laporan akhbar itu lagi, pertemuan berkenaan berlangsung pada 22 April 2016 dan apa yang berlaku ketika itu masih misteri sementara OAG dilaporkan enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan itu.
Malah, usaha AFP bagi mendapatkan komen OAG mengenai laporan disiarkan Tribune de Geneve turut gagal.
FIFA yang turut dihubungi bagi mendapatkan reaksi badan induk bola sepak dunia itu masih belum memberi sebarang maklum balas. – AFP