Presiden Xi adakan pertemuan dengan Canselor Jerman Angela Merkel

Presiden Xi adakan pertemuan dengan Canselor Jerman Angela Merkel

BEIJING, 7 Sept — Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman Angela Merkel di sini pada Jumaat, yang antara lain membincangkan mengenai kerjasama strategik, lapor agensi berita Xinhua.

Xi berkata era sekarang penuh dengan cabaran serta risiko, unilateralisme dan fahaman perlindungan menimbulkan ancaman serius terhadap kedamaian dan kestabilan dunia.

China dan Jerman perlu mengukuhkan komunikasi strategik dan bekerjasama untuk menangani cabaran itu, katanya. “Ini menjadi semakin penting bukan sahaja untuk China dan Jerman tetapi juga kepada dunia,” ujar Xi.

Tambah Xi, kedua-dua pihak perlu saling menghormati, menjaga kepentingan teras masing-masing dan menjadi rakan strategik untuk dialog serta kerjasama bagi manfaat bersama. Xi berkata kunjungan Merkel telah menghasilkan banyak kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Menurutnya pasaran China cukup luas dan terus berkembang yang akan membawa lebih banyak peluang baharu ke Jerman dan seluruh dunia. “Kerjasama industri auto adalah satu contoh terbaik yang saling menguntungkan kedua-dua negara,” katanya.

China mahu memperluas kerjasama dalam bidang lain antaranya sektor kecerdasan buatan, digitalisasi dan 5G. Sementara itu, Merkel berkata dialog dan kerjasama Jerman-China sangat luas, China adalah rakan perdagangan terbesar.

“Jerman berbesar hati untuk berkongsi pencapaian China dan bersedia meningkatkan pelaburan, memperluas bidang kerjasama dan menggalakkan pertukaran rakyat dengan rakyat dan budaya,” kata Merkel.

Beliau berkata unilateralisme dan fahaman perlindungan turut memberi impak negatif kepada Jerman. Semua pihak harus bekerjasama untuk menyelesaikan perbezaan serta pergeseran melalui dialog dan rundingan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )