Prestasi kewangan kerajaan Perlis stabil – LKAN

Prestasi kewangan kerajaan Perlis stabil – LKAN

KANGAR,. Prestasi kewangan kerajaan Perlis bagi tahun 2019 adalah stabil, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

LKAN mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan agensi negeri Perlis tahun 2019 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini, menyatakan secara keseluruhan, baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2019 adalah berjumlah RM45.38 juta, iaitu meningkat sebanyak RM23.18 juta berbanding RM22.20 juta pada akhir tahun 2018.

“Kutipan hasil meningkat sebanyak RM23.21 juta atau 18.1% menjadi RM151.29 juta berbanding RM128.08 juta pada tahun 2018,” menurut laporan itu.

Analisis itu berdasarkan kepada Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan, Penyata Akaun Memorandum dan Nota Kepada Penyata Kewangan.

Laporan itu turut memuji prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada tahun 2019 yang menurutnya adalah sangat baik, iaitu sejumlah RM53.34 juta (96.5%) telah dibelanjakan berbanding RM55.28 juta yang diperuntukkan.

“Daripada 692 jumlah projek yang dirancang, 686 projek atau 99.1 peratus telah disiapkan sepenuhnya manakala enam projek atau 0.9 peratus sedang dilaksanakan. Tiada projek yang masih belum dimulakan atau ditangguh,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, baki pinjaman boleh dituntut menurun RM0.79 juta atau 0.7 peratus daripada RM109.72 juta pada tahun 2018 kepada RM108.93 juta pada tahun 2019.

Bagi tunggakan bayaran balik pinjaman boleh dituntut menurun RM0.91 juta atau satu peratus daripada RM88.76 juta pada tahun 2018 kepada RM87.85 juta pada tahun 2019.

“Jumlah hutang awam menurun RM135.30 juta atau 33.5 peratus menjadi RM268.02 juta berbanding RM403.32 juta pada tahun 2018 manakala tunggakan bayaran balik hutang awam oleh kerajaan negeri menurun sebanyak RM62.81 juta atau 25.7 peratus menjadi RM181.47 juta berbanding RM244.28 juta pada tahun 2018,” menurut laporan itu.

Laporan tersebut juga menyebut pengauditan yang dijalankan mendapati dua agensi mengemukakan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum atau pada 30 April 2020.

Menurut laporan itu, enam lagi agensi mengemukakan penyata kewangan selepas tempoh ditetapkan kerana kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.

Setakat 31 Ogos 2020, sebanyak tiga daripada lapan penyata kewangan agensi negeri bagi tahun 2019 telah diaudit dan dikeluarkan pendapat tanpa teguran.

Lima penyata kewangan agensi negeri yang lain masih dalam proses pengauditan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )