Prihatin Menangani COVID-19

Oleh :
Datuk Saifuddin Abdullah

Beberapa hari kebelakangan ini, saya bertemu teman-teman daripada pelbagai kumpulan media untuk berbincang tentang COVID-19. Sebelum ini pun saya sering bertemu mereka, kerana kami telah berkawan lama, iaitu sejak saya belum aktif dalam politik lagi. Tetapi, pertemuan terbaru ini adalah khusus tentang naratif kerajaan dalam menangani COVID-19. Ini kerana mutakhir ini, isu COVID-19 telah menjadi semakin kompleks.

Saya menerangkan bahawa terdapat empat perkara yang saling berkait antara satu dengan yang lain, iaitu; pandemik COVID-19 masih kritikal tetapi kita berjaya mengawalnya, kerajaan berbuat sedaya upaya dan dengan terancang, kesan dan cabaran ekonomi diuruskan dengan teliti, dan Belanjawan 2021 mesti diluluskan.

Sejak 20 September 2020, negara berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19. Jumlah rakyat yang terjangkit telah melebihi 30,000 orang. Namun, kita berjaya mengawalnya. Contohnya, pada 30 Oktober lalu, ketika USA mencatat jumlah kes baru hariannya yang tertinggi, iaitu 100,233 orang, kita mencatat jumlah kes pulih harian tertinggi, iaitu 1,000 orang. Kumulasi bilangan yang pulih kita ialah 67.4 peratus, iaitu salah satu angka yang tinggi di dunia. Manakala, bilangan kematian kita ialah 0.8 peratus sahaja, berbanding 2.6 peratus di peringkat dunia. R-naught kita hari ini stabil, iaitu di bawah angka 1. Hospital, bilik bedah, ICU, wad biasa, katil, peralatan, tenaga doktor dan profesional, bahan-bahan seperti PPE dan alat ujian adalah mencukupi.

Kerajaan berusaha menyediakan vaksin. Perundingan sedang dijalankan dengan negara dan organisasi luar yang tertentu. Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan penyelidikannya. MySejahtera sedang ditambah baik. Ini termasuklah dengan kemungkinan menambah perisian baru seperti risk calculator.

Hakikatnya, kita perlu hidup bersama (co-exist) dengan COVID-19 untuk satu jangka masa yang tidak dapat dianggar berapa lama lagi. Dalam tempoh ini, sebahagian frontliners – wira-wira tak didendang – mula merasa letih (fatigue). Kini, kita semua – seluruh rakyat – harus sama-sama memainkan peranan sebagai frontliners.

Sejak pentadbiran PN dibentuk, ia dengan serta merta menjadikan COVID-19 fokus terpenting. Strategi utama kerajaan ialah keseimbangan antara nyawa dan kehidupan ekonomi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) tentang COVID-19 pada hampir setiap hari, termasuk hari cuti umum. Ketika Perdana Menteri sesekali tidak mempengerusikannya, ia dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri. Hampir separuh anggota Kabinet, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Imigresen dan pegawai-pegawai kanan yang lain menghadirinya. Mesyuarat berlangsung 2-3 jam lamanya. Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri juga telah beberapa kali diundang sama. Perbincangannya detail. Serba serbi ditimbang dengan teliti.

Dalam mesyuarat pertama MKN tersebut, saya mencadangkan agar pengurusan COVID-19 dibahagikan kepada dua komponen, iaitu hal ehwal kesihatan dan hal ehwal bukan-kesihatan. Untuk memastikan komunikasi kerajaan adalah tepat dan sahih, dan bagi mengelakkan kekeliruan, maka, Perdana Menteri memutuskan supaya dua orang menjadi jurucakap rasmi, iaitu, Datuk Seri Ismail Sabri bagi hal ehwal bukan-kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi hal ehwal kesihatan. Apabila kegiatan ekonomi dimulakan semula dan pakej-pakej rangsangan ekonomi diumumkan, maka, dua orang lagi menjadi jurucakap rasmi, iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohd Azmin Ali dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Di samping itu, pelbagai langkah penerangan dan komunikasi lain turut digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan kementerian/agensi lain. Sektor swasta, CSO dan pemegang-pemegang taruh lain turut memainkan peranan masing-masing. Pokoknya, pelbagai cara dan medium digunakan. Kini, kerajaan sedang menggerakkan kempen pembudayaan norma baharu pula.

Kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dan pelaksanaan yang kemas. Memanglah ia tidak sunyi daripada kesilapan dan kelemahan. Tetapi, pokoknya, semuanya difikirkan dan dizahirkan dengan teratur. Contohnya, pelbagai jenis SOP dibangunkan melalui libat urus bersama semua pihak yang berkaitan. MKN berbincang dengan teliti tentang pengumuman dan penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP. Kita memperbaiki strategi. Dulu, kita menggunakan pendekatan step and ladder: kita lihat apabila sesuatu kawasan itu berwarna merah (mempunyai 41 kes ke atas), barulah kawasan itu dikenakan PKPB. Kita belajar dari pengalaman sebelum ini dan mendapati bahawa pendekatan ini terlambat dalam membendungnya daripada merebak. Jadi, kini, kita menggunakan pendekatan pre-emptive: bergantung kepada penilaian risikonya, sesuatu kawasan itu dikenakan PKPB sebelumpun ia sampai kepada 41 kes.

Ekonomi terjejas teruk. Terdapat sektor yang seakan-akan mati. Ramai menganggur. Apabila kita melaksanakan PKP, kerugian purata ialah sebanyak RM2.4 juta sehari.

Kerajaan tetap berusaha untuk merancakkan semula aktiviti-aktiviti ekonomi. Ia dibuat dengan perancangan yang rapi. Contohnya, dengan strategi “6R”, iaitu pembahagian dasar ekonomi kepada kepada enam tahap: Restore (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan-semula), Recovery (Pemulihan), Revitalise (Memperkasa) dan Reform (Menyusun semula). Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November 2020 ialah tahap kelima (Memperkasa) dan Rancangan Malaysia Ke-Dua Belas (RMK12) yang akan dibentangkan pada Januari 2021 ialah tahap keenam (Menyusun semula).

Bagi meneruskan segala usaha dan kerja prihatin kerajaan dan semua pihak selama ini, dana yang mencukupi amat diperlukan. Justeru, kita mesti meluluskan Belanjawan 2021.

Saya menjangkakan belanjawan kali ini adalah “Belanjawan COVID-19” yang berani. Ia bukannya untuk mengira soal defisit atau lebihan. Sebaliknya, ia mengandungi apa-apa sahaja yang diperlukan untuk kepentingan rakyat. Sekiranya perlu menambah hutang, maka, tambahlah. Apa yang mustahak ialah kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan semua program dan projek pembangunan demi rakyat.

Dalam pertemuan dengan teman-teman media tersebut, saya memohon bantuan mereka untuk menyebarkan naratif prihatin ini. Oleh kerana isu COVID-19 semakin kompleks, maka, kita perlu melipatgandakan usaha-usaha komunikasi. Contohnya, kita perlu menambah perkongsian dalam kalangan rakyat, termasuk netizen, seperti video pendek Pak Lajad (tentang penyampaian bantuan makanan kepada komuniti Bajau Laut di Sabah) dan video sentap Sofyan (melawat kawan-kawannya tanpa memakai pelitup muka). Adakalanya, perkongsian bahan-bahan yang raw begini lebih berkesan.

— BERNAMA

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )