PRK Slim: Kempen BN masuk “gear lima” – Ahmad Zahid
TANJUNG MALIM,. Kempen Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kini memasuki “gear lima”, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43, telah diminta mempergiatkan lagi kempennya dan lawatan dari rumah ke rumah di kawasan DUN itu.
Katanya cabaran diberikan oleh calon Bebas pada PRK itu berbeza dengan PRK DUN Chini pada Julai lepas.
“Ia agak berbeza dengan calon Bebas di PRK DUN Chini yang lepas kerana ketika itu keadaan parti yang telah keluar Bersatu tidak sama dengan apa yang ada sekarang.
“Bagaimanapun, semua kekangan dan permasalahan yang ada di Slim ini akan dihadapi kerana seluruh kepimpinan atasan UMNO dan BN telah memperlihatkan komitmen untuk menentukan kemenangan pada kali ini memihak kepada calon BN,” katanya kepada pemberita pada program ramah mesra di Besout 3 di sini, hari ini.
PRK DUN Slim pada 29 Ogos akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, daripada parti yang masih belum didaftarkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), 38, dan S. Santhasekaran, 44.
Pada 7 Ogos, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang dikenali Pejuang, yang tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presidennya.
Hari ini, pemimpin penaja Pejuang menyerahkan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mendaftarkan parti itu.
— BERNAMA