PRK Tg Piai : PAS turun ke Tanjung Piai sokong calon MCA

PRK Tg Piai : PAS turun ke Tanjung Piai sokong calon MCA

PONTIAN,. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam ini mengesahkan bahawa parti itu turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan parlimen itu.

Beliau berkata itu adalah isyarat untuk memastikan kemenangan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kerusi parlimen itu.

“PAS boleh menyokong calon MCA yang dianggap bukan Islam…perlu difahami Islam yang diajar bukan sahaja satu agama tetapi Islam juga adalah cara hidup, antaranya Islam mengajar kita hidup bermasyarakat yang majmuk.

“Walau kita berbeza pendapat tapi ada sepakat dan bersama untuk Malaysia dalam satu bahtera. Calon MCA adalah mewakili kita semua,” katanya dalam ucapan pada Ceramah Perdana BN di Rimba Terjun, di sini.

Turut hadir Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Jeck Seng.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata kehadiran PAS adalah manifestasi parti itu tidak mengiktiraf calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) yang turut bertanding pada PRK itu.

“PAS dokong calon diwakili MCA, yang paling menyejukkan hati kita walaupun ada calon Berjasa. PAS tidak iktiraf dan tidak beri dokongan pada calon Berjasa,” katanya.

Berjasa merupakan sekutu PAS bawah Gagasan Sejahtera.

Pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia merupakan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, BN yang diwakili Jeck Seng; Wendy Subramaniam (Gerakan) , Datuk Dr Ir Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Berjasa dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)