PRN: Bahan Kempen dilarang pasang di premis, pepasangan elektrik TNB

PRN: Bahan Kempen dilarang pasang di premis, pepasangan elektrik TNB

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan semua parti politik agar tidak memasang sebarang bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti itu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terlibat.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata larangan itu termasuk menampal atau menggantung bahan kempen seperti poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Katanya aktiviti berbahaya itu juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik.

“Pemasangan bahan kempen tersebut boleh menghalang warga kerja TNB mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Nazmy berkata TNB juga memohon kerjasama semua pihak agar mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah bagi mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.

“Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik. Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke premis penting sepanjang proses pilihan raya ini seperti pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Nasihat kami agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan sila hubungi pejabat TNB berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat agar semua prosedur dan tatacara dipatuhi sekali gus mengurangkan risiko gangguan,” katanya.

Wan Nazmy turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

Sebagai langkah pencegahan, TNB menerusi rondaan rutin akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik diminta segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )