PRN Johor: Lapan tunjang utama dalam ikrar PN “Demi Bangsa Johor”

PRN Johor: Lapan tunjang utama dalam ikrar PN “Demi Bangsa Johor”

JOHOR BAHRU, 2 Mac — Berikut adalah senarai lapan tunjang utama ikrar “Demi Bangsa Johor” yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti diumumkan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

PN meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, dengan 33 calon itu daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Hari pengundian untuk PRN Johor adalah pada 12 Mac ini.

Tunjang 1: Kepimpinan Berintegriti dan Bebas Rasuah

Mendokong pemimpin dan tadbir urus berintegriti, bebas rasuah serta menolak penyalahgunaan kuasa.

Memperkasakan tadbir urus syarikat milik kerajaan negeri dan menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan serta meningkatkan daya saing di peringkat global.

Mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tunjang 2: Keutuhan Ekonomi

Menyediakan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 yang menyeluruh dan holistik.

Memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dengan meningkatkan produktiviti taman kekal pengeluaran makanan dan zon pengeluaran makanan serta memperkukuhkan rantaian bekalan melalui penggunaan teknologi digital dan penambahbaikan prasarana.

Menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelabur daripada syarikat teknologi antarabangsa serta menyediakan akses kepada tenaga hijau dan pekerja mahir dalam kalangan anak Johor.
Merancakkan penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri Johor dengan menyediakan hab PMKS yang dilengkapi dengan kemudahan bersesuaian mengikut keunikan sektor ekonomi kawasan berkenaan.

Memperkenalkan Skim Prihatin PMKS bagi membantu usahawan Johor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi bantuan dana, kemahiran dan latihan.
Memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor untuk tempoh lima tahun.

Menstruktur semula ekonomi negeri dengan memberi fokus kepada penyediaan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dalam industri strategik serta meningkatkan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir untuk semua lapisan masyarakat.

Tunjang 3: Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup

Memperkenalkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Memperluaskan program Jualan Prihatin Rakyat di setiap daerah.

Memperkenalkan bakul makanan Johor Prihatin yang diagihkan secara berkala kepada keluarga yang memerlukan.
Memperkasakan penyelarasan dan memudah cara pengagihan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta sumbangan zakat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk orang kurang upaya (OKU).

Menyediakan bantuan khas kepada penjaja dengan memberi pengurangan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan secara sekali bayar.

Menyediakan bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor.

Tunjang 4: Keprihatinan Rakyat

Menubuhkan Institut Kepimpinan Anak Muda Johor untuk melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing di peringkat global melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta.
Mewujudkan DUN Belia sebagai platform rasmi untuk suara aspirasi generasi belia seluruh Johor.

Menyediakan komputer riba dan bantuan tunai kepada anak muda Johor daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mewujudkan Dana Digital Niaga bagi membantu peniaga muda Johor mengoptimumkan potensi perniagaan melalui penggunaan teknologi digital serta menyediakan khidmat nasihat dan latihan berkaitan.
Menyediakan bantuan baucar tunai kepada belia daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen motorsikal.

Meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan OKU wanita dalam bidang keusahawanan serta menyediakan latihan teknologi digital dan khidmat nasihat melalui kerjasama agensi kerajaan dan pihak swasta.
Memperkasakan koperasi wanita dalam aktiviti ekonomi terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan menyediakan insentif serta latihan dan khidmat nasihat, termasuk berkaitan teknologi digital.
Menyediakan dana khas untuk pasangan belia Johor yang baru berkahwin.

Menyediakan pusat sehenti, termasuk perkhidmatan bergerak yang menawarkan bantuan kebajikan, khidmat kaunseling, khidmat guaman, tempat perlindungan serta lain-lain bantuan melalui kerjasama kerajaan Persekutuan.

Memperkasakan pusat komuniti di setiap daerah dengan pelbagai aktiviti untuk warga emas, termasuk kesihatan dan kerohanian.
Menyediakan Kad Sejahtera Johor, iaitu skim perlindungan takaful kepada warga emas.

Meluaskan akses OKU kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dengan penyediaan fasiliti dan kemudahan mesra OKU.

Meningkatkan penyediaan kemudahan dan fasiliti mesra OKU yang berkualiti di semua bangunan awam dan premis swasta dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.

Memperkenalkan Dana Niaga OKU bagi membantu OKU menceburi bidang keusahawanan serta menyediakan latihan kemahiran dan khidmat nasihat, termasuk inovasi dan pendigitalan, untuk mengoptimumkan potensi perniagaan.

Membina dan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sosial seperti dewan orang ramai, jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat serta telekomunikasi, termasuk capaian Internet di kampung Orang Asli.

Memperkasakan kemahiran digital dan menyediakan program latihan bagi meningkatkan penyertaan Orang Asli dalam aktiviti ekonomi, termasuk ekopelancongan, hasil hutan dan pertanian organik.

Membina dan menaik taraf kemudahan serta prasarana asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan perkhidmatan Internet/jalur lebar di kawasan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) .
Memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih serta dijadualkan siap pada tahun 2022 dapat disegerakan.

Menyelamatkan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih dengan segera.

Mempergiatkan penglibatan koperasi Felda dalam Program Pembangunan Peneroka dengan menumpukan kepada aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh.

Menetapkan kadar premium tanah sebanyak RM1 sekaki persegi bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda untuk tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu Felda.

Tunjang 5: Kesejahteraan Sosial

Menyediakan bantuan penyelenggaraan kepada semua sekolah agama yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Johor dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Memperkasakan sekolah agama negeri Johor dengan menyediakan fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif dan moden, termasuk pendigitalan serta latihan berkaitan kepada warga pendidik.

Menyediakan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada keluarga atau individu berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta.

Melaksanakan pengagihan rumah mampu milik kepada rakyat secara telus.

Menambah rumah transit dan projek perumahan rakyat di kawasan terpilih untuk sewaan kepada pasangan belia yang baru berkahwin.

Membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan sempadan negara dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.

Tunjang 6: Kecekapan Infrastruktur

Menyegerakan pembinaan jalan baharu serta menaik taraf jalan dan jambatan sedia ada, termasuk pelebaran lebuh raya bagi meningkatkan akses di kawasan bandar dan luar bandar dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.

Memastikan pembinaan jalan dan jambatan baharu dari Penchu, Tangkak ke Paya Ronggang, Muar dapat dilaksanakan mengikut perancangan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.

Memudah cara pelaksanaan infrastruktur utama seperti Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Sistem Transit Rapid Johor Bahru – Singapura (RTS) dan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) bagi memastikan projek dapat disiapkan berdasarkan perancangan projek dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.

Menyegerakan dan memudah cara pelaksanaan liputan internet 5G di bandar besar dan kawasan strategik melalui kerjasama kerajaan Persekutuan.

Mempercepatkan perluasan infrastruktur hotspot WiFi percuma di pusat tumpuan ramai termasuk di pusat komuniti dan pusat kegiatan belia.

Tunjang 7: Kerancakan Sektor Pelancongan

Memanfaatkan keunikan alam semula jadi serta warisan sejarah Johor dalam mengoptimumkan penawaran produk pelancongan bernilai tinggi.

Merancakkan sektor agropelancongan melalui program ‘Johor Agro Visit’ yang menawarkan gabungan produk agropelancongan untuk tujuan farmstay dan latihan pertanian.

Memperbanyakkan kemudahan perkhidmatan Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia.

Tunjang 8: Kelestarian Alam Sekitar

Menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mendepani bencana alam.

Menaik taraf sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Mempergiatkan aktiviti pemuliharaan ekosistem marin bagi melestarikan kawasan perairan serta memperkaya hasil sumber laut, khususnya untuk nelayan pesisir pantai.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)