PRN Johor: Memakmurkan semula ekonomi Johor fokus utama BN – Nur Jazlan

PRN Johor: Memakmurkan semula ekonomi Johor fokus utama BN – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU,. Barisan Nasional (BN) akan memberi fokus kepada usaha memacu kembali ekonomi Johor yang terjejas akibat pelbagai isu selain meningkatkan semula pendapatan rakyat jika diberi mandat mentadbir kembali negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata fokus gabungan itu untuk memakmurkan semula ekonomi akan digunakan dalam kempen PRN kali ini.

“Isu setempat adalah poket. Itu pokoknya, kalau tiada duit macam mana (rakyat) hendak jalankan kehidupan serta sara keluarga, pendidikan dan sebagainya. Maka kita perlu ‘reset’ atau ‘reboot’ seperti komputer yang ‘hanging’, kita tekan ‘power button’ maka perisian itu berjalan semula.

“Saya rasa inilah cita rasa rakyat yang akan ditafsirkan kepada kemenangan BN pada PRN ini,” katanya semasa menjadi tetamu program Suara Johor terbitan Bernama TV pada Ahad.

Menyentuh pencalonan Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar bagi BN, Nur Jazlan yakin dengan kriteria dimiliki beliau untuk memimpin serta memajukan Johor sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRN itu.

“Paling penting sekali, Hasni adalah seorang pemikir strategik jadi beliau akan memfokus kepada pembangunan jangka panjang secara holistik daripada pelbagai aspek ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)