PRN Johor: Pejuang sedia bekerjasama dengan parti yang ‘sebulu

PRN Johor: Pejuang sedia bekerjasama dengan parti yang ‘sebulu

BATU PAHAT, 3 Mac — Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedia bekerjasama dengan parti lain yang ‘sebulu’ untuk membentuk kerajaan negeri Johor, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang pertama kali turun membantu kempen Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini berkata parti terbabit perlu memegang prinsip sama seperti Pejuang terutamanya dalam menghapuskan gejala rasuah.

“Kalau mereka pegang pada prinsip sama, kita rela bekerjasama dengan mereka untuk mencukupkan bilangan (kerusi Dewan Undangan Negeri) supaya kita dapat menubuhkan kerajaan.

“Ada dua tiga parti dan kita belum tentukan yang mana (untuk bekerjasama),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam di sini.

Mengenai peluang Pejuang pada PRN berkenaan, Dr Mahathir berkata parti itu mendapat sambutan termasuk dari kalangan bukan Melayu.

Pejuang meletakkan 42 calon di 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Johor ini.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar dari parti itu, bekas Perdana Menteri itu berkata ia bergantung kepada calon yang menang pada PRN Johor.

“Kalau kita bagi nama pun, kalau dia kalah dia tak boleh jadi Menteri Besar. Sebab itu, kita tak namakan calon,” katanya sambil menambah Pejuang mempunyai beberapa calon yang mampu memegang jawatan tersebut.

Terdahulu, Dr Mahathir turut makan tengah hari bersama Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina di sini.

Mengenai kedatangannya ke Johor meskipun baharu sahaja pulih dari sakit, Dr Mahathir berkata beliau turun bagi menyatakan kepada rakyat Johor mengenai kepentingan menubuhkan kerajaan yang bersih.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)