PRN Kelantan: 40 DUN Satu lawan Satu, kemampuan parti, pengundi dicabar

PRN Kelantan: 40 DUN Satu lawan Satu, kemampuan parti, pengundi dicabar

KOTA BHARU,  (Bernama) — Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan tampak lebih menarik kali ini apabila 40 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertembungan satu lawan satu sekali gus akan memberi naratif yang menarik dalam arena politik di negeri itu.

Felow Penyelidik Kanan Universiti Utara Malaysia (Kampus Kuala Lumpur) Prof Madya Dr Baharuddin Aziz berkata pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dua DUN sahaja di Kelantan menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu di DUN Tawang dan Kuala Balah.

Beliau berkata selebihnya menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru antara parti seperti Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR sehingga menyebabkan ‘pecah undi’ dalam kalangan pengundi untuk memilih calon yang selayaknya.

“Namun, untuk PRN kali ini ia cukup berbeza apabila hampir semua kerusi DUN di Kelantan menjadi medan pertarungan satu lawan satu, sekali gus menjadi cabaran kepada pengundi kerana mahu tidak mahu mereka perlu memilih dua calon yang bertanding sahaja dan tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa pangkah calon kerana parti atau peribadi.

“Dari sudut ini kita boleh lihat, apakah selera politik rakyat Kelantan sama ada mahu kekal bersama kerajaan negeri yang mentadbir sekarang ini iaitu PAS atau mahukan perubahan pentadbiran dengan memilih kerajaan pusat yang menerajui negara ketika ini iaitu Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Baharuddin berkata sokongan pengundi kali ini juga akan menampakkan bagaimana hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan pusat dan negeri selama ini berbaloi atau tidak menerusi pelbagai agenda pembangunan, sosial, ekonomi dan sebagainya terhadap rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Pada PRU14, sebanyak 36 DUN di Kelantan mencatatkan pertembungan tiga penjuru, manakala enam DUN pula iaitu Tendong, Pengkalan Pasir, Meranti, Chetok, Guchil dan Manek Urai (empat penjuru) dan DUN Kota Lama (lima penjuru).

Daripada 45 kerusi DUN, PAS memenangi 37 kerusi, manakala BN lapan kerusi sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Mengambil kira keputusan PRU14, gabungan BN dan PH mampu menang di lapan kawasan DUN iaitu Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu, Kota Lama, Apam Putra, Melor, Semerak, Kemuning dan Guchil pada PRN kali ini manakala PAS memenangi 29 kerusi tidak termasuk kerusi DUN Air Lanas, kurang satu kerusi bagi majoriti mudah.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata politik di Kelantan sebenarnya lebih menjurus kepada pertembungan tradisional antara BN dan PAS walaupun mempunyai parti gabungan yang lain.

“Cabaran parti PAS pastinya untuk mempertahankan Kelantan selepas lebih 30 tahun memerintah dan bagaimana cara mereka untuk menangkis segala isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan seperti masalah air, utiliti dan sebagainya.

“Manakala, bagi BN dan PH yang mewakili kerajaan pusat pula akan terus memperjuangkan hak yang sewajarnya dimiliki rakyat Kelantan supaya mereka tidak terus ketinggalan dengan negeri-negeri lain dari segi pembangunan, infrastruktur dan sebagainya,” katanya.

Pada PRN Kelantan kali ini, 40 kerusi DUN bakal menampilkan pertembungan satu lawan satu, empat DUN (tiga penjuru), manakala kerusi DUN Kota Lama menyaksikan pertandingan empat penjuru.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )