PRN: Lebih calon Wanita harus diberi peluang – Pantau PRU 15

PRN: Lebih calon Wanita harus diberi peluang – Pantau PRU 15

Ram dan Dino G

 

KUALA LUMPUR – Gabungan NGO Pantau PRU15 mengharapkan agar parti politik di Malaysia akan ketengahkan lebih ramai calon Wanita menjelang Pilihan Raya Negeri di enam negeri pada Ogos 12.

Dalam satu kenyataan media, gabungan NGO tersebut menyatakan bahawa kedudukan kepimpinan wanita yang amat rendah telah mengakibatkan Malaysia jatuh ke tahap 152 dari 185 negara dalam Ranking Inter-Parliamentary Union (IPU) pada 1 Julai 2023 dan Malaysia di tahap kedua terendah dalam ASEAN.

“Setelah lebih 65 tahun merdeka, prestasi parti-parti politik dalam mengetengahkan calon wanita adalah tidak memuaskan walaupun jumlah wanita sebagai ahli dan pengundi adalah tinggi.

“Pasca PRU15 mencatatkan penurunan jumlah ahli parlimen wanita dari 32 ke 30 orang sahaja. Malah bagi jumlah wakil rakyat wanita DUN juga mencatatkan jumlah yang amat mengecewakan.”

Terdapat lima (5) negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Sabah yang mempunyai kurang 10% wakil rakyat wanita iaitu antara 4.17% hingga 9.61% sahaja. Manakala, negeri-negeri yang lain pula, mencatat antara 10.94% hingga 15.5%.

Secara keseluruhannya, ke semua negeri tidak mencapai sasaran minimum 30% representasi wanita yang telah dipersetujui dalam Dasar Wanita Negara (DWN) dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Parti politik yang menghormati prinsip sistem demokrasi akan memandang serius mengenai jumlah representasi wanita yang amat rendah.

Oleh itu, Jawatankuasa PantauPRU15 menggesa Jawatankuasa Pemilihan semua parti politik supaya;

1) Memastikan jumlah wanita yang dicalonkan mencermin kesungguhan parti politik dalam mengetengahkan kepentingan wanita di Malaysia.

2) Menzahirkan kesungguhan parti politik dalam menambahbaik jumlah pemimpin wanita dengan menempatkan mereka di kawasan yang menjadi kekuatan kepada parti masing-masing, bukan sekadar di tempatkan di kawasan yang pasti akan kalah.

3) Memberi keutamaan kepada wanita yang mempunyai rekod jasa dan bakti yang cemerlang kepada rakyat.

Jawatankuasa PantauPRU15 berharap semua pihak merujuk kepada Nilai Politik Wanita yang telah dipersetujui oleh wakil-wakil wanita dari lapan (8) parti politik pada 20 Jun 2023.

 

*Pantau PRU15 ialah gabungan yang diketuai Majlis Kebangsaan Pertubuhan- Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) yang terdiri daripada 200 NGO wanita, 24 rakan kerjasama NGO dari serata tanah air dan para ahli akademik.

Gabungan ini bertujuan untuk mengangkat kepentingan peningkatan penglibaran wanita dalam badan legislatif, menggesa parti-parti politik untuk mengisi sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam PRU15, memantau dan menganalisis prestasi parti-parti politik dalam rencana peningkatan jumlah penglibatan wanita dalam PRU15, khidmat profesional dan sokongan psikososial kepada calon wanita.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )