PRN Melaka: UMNO belum putuskan bergerak secara solo atau bekerjasama dengan parti lain

KUALA NERANG,. UMNO belum memuktamad keputusan sama ada akan bergerak secara solo di bawah Barisan Nasional (BN) atau bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ia diadakan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti apabila tiba masanya nanti.

“Setakat hari ini kita belum buat keputusan, MT yang bermesyuarat tiga hari lepas tidak buat sebarang keputusan bagaimana untuk kita hadapi PRN Melaka sekiranya diadakan dalam masa satu atau dua bulan dari sekarang.

“Jadi kita ada masa lagi, BN dan UMNO masih ada masa untuk mencari kaedah yang terbaik untuk PRN negeri Melaka, jadi saya tidak fikir kita sudah ada keputusan untuk UMNO dan BN pergi (hadapi PRN Melaka) secara solo,” kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu dalam sidang media semalam selepas menghadiri Majlis Pekebun Kecil Makmur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa parti itu dan BN akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka.

“Presiden buat kenyataan tapi presiden pulangkan balik kepada MT untuk buat keputusan, keputusan pada mesyuarat MT sebelum ini adalah kita tak buat sebarang keputusan untuk menentukan sama ada pergi solo atau sebaliknya, sampai masa kita akan mesyuarat balik,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )