PRN: Penurunan undi pos membimbangkan, pengundi disaran keluar mengundi -Calon PH Michelle Ng

PRN: Penurunan undi pos membimbangkan, pengundi disaran keluar mengundi -Calon PH Michelle Ng

SUBANG : Calon N31 Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze menasihatkan pengundi di Subang Jaya agar keluar mengundi pada Ogos 12 bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional di negeri Selangor.

Mengikut Michelle, pada PRU 15 bagi Parlimen P104 Subang, yang merangkumi DUN Subang Jaya dan DUN Kinrara, terdapat sebanyak 2,850 undi pos yang telah dikeluarkan.

“Jadi kalau dibahagikan, purata yang harus dikeluarkan oleh setiap DUN di Kawasan Parlimen Subang ialah sebanyak 1,425 undi pos.

“Tetapi, semalam apabila statistik undi pos dikeluarkan, kami mendapati bahawa hanya 398 undi pos yang telah dikeluarkan di DUN Subang Jaya.

“Ini merupakan satu penurunan yang sangat ketara, lebih kurang 70% penurunan daripada PRU 15.”

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana kalau peratus pengundi yang akan keluar mengundi adalah agak sama dengan undi pos ia adalah satu penanda yang merisaukan,” kata Michelle kepada pemberita.

Lebih 65% pengundi harus keluar

“Kami dari Pakatan Harapan, anggarkan sekurang-kurangnya 65% pengundi yang perlu keluar untuk mengundi bagi mengekalkan Kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap pengundi Subang Jaya akan meneliti amaran ini dan memastikan keluar mengundi beramai-ramai pada Ogos 12.

“Jangan leka dan ingat bahawa Pilihan Raya Negeri adalah tidak penting.”

Daripada penilaian dan maklum balas semasa ‘walkabout’ di sekitar DUN Subang Jaya, ada diantara pengundi merasakan ini adalah kubu kuat PH dan akan memperolehi kemenangan yang mudah, kata Michelle dan beliau berharap semua pengundi akan keluar secara beramai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada Ogos 12.

Kerusi DUN Subang Jaya dianggap sebagai kubu kuat Pakatan Harapan yang dimenangi dari 2008 sehingga 2018.

Pada 2018, Michelle Ng Mei Sze menang kerusi dengan majoriti 48,272.

Pertembungan antara BN-MCA dan PH menjadi tradisi di sini.

Ini kali pertama PN bertanding di kerusi Subang Jaya dengan menamakan calon S Gana dan calon MUDA Zayd Shaukat.

Peratus pengundi ialah Melayu 29%,  Cina 57%, India 12%, Lain 2%.

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )