PRN: PH-BN Pulau Pinang lancar Manifesto Perpaduan

PRN: PH-BN Pulau Pinang lancar Manifesto Perpaduan

BUTTERWORTH, (Bernama) — Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang malam ini melancarkan Manifesto Perpaduan dengan 16 tema utama antaranya cakna kebajikan dan memperjuang sosioekonomi rakyat.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari ketika membentangkan manifesto itu berkata tawaran itu adalah kesinambungan kepada dasar, polisi dan rekod prestasi kerajaan negeri selama 15 tahun ini.

Manifesto berkenaan antaranya menawarkan penubuhan Tabung Pembangunan Sosial Negeri daripada kutipan fi kesihatan perubatan ke atas warga asing bagi memanfaatkan golongan memerlukan selain menarik pelaburan berimpak tinggi melalui pembangunan projek Silicon Island yang dijangka menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.

Membangunkan Meditech City di Batu Kawan dan projek GBS By The Sea sebagai usaha ke arah mencapai taraf Global City; memberi bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji daripada golongan B40;  memulakan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Kereta Kabel Bukit Bendera.

Selain itu, bantuan RM600 setahun kepada pemandu e-hailing dan insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing (motosikal); meneruskan bantuan RM600 setahun kepada pemandu teksi dan bas sekolah; memperkenal Skim Perumahan Sewa Khas kepada golongan belia atau bujang, serta menyumbang komputer riba percuma kepada pelajar daripada golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Kita juga akan memberi bayaran bantuan sara hidup kepada pesawah dan pekebun sayur serta bantuan pukat kepada golongan nelayan dan memperkenalkan Program Mempelai Emas RM500 secara ‘one-off’ untuk setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga,” kata Zairil.

Menurutnya gabungan PH-BN juga akan melaksanakan pembinaan Jalan Berkembar Tanjong Bungah -Teluk Bahang, Persimpangan Berlian Mencapah di Persimpangan Juru dan Jalan Pintasan Sungai Bakap serta menyiapkan pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam sehingga ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Pengerusi BN Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

 

 

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )