PRN: Ramasamy umum keluar DAP, letak semua jawatan

PRN: Ramasamy umum keluar DAP, letak semua jawatan

PERAI: Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Prof P Ramasamy ,74, mengumumkan keluar daripada DAP dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu secara rasmi hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu berkata, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 8.24 pagi dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow jam 8.25 pagi.

Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang, yang digugurkan daripada pencalonan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, berkata keputusan berat itu dibuat selepas kecewa dengan keputusan pimpinan tertinggi parti membuat keputusan berkaitan pemilihan calon PRN.

Menjadi Timbalan Ketua Menteri II sejak 2008, beliau berkata tidak boleh menerima alasan pengguguran dirinya dan lima ADUN yang lain kononnya demi’ proses peremajaan’ parti sedangkan ia satu ‘penyingkiran politik’

“Saya boleh faham mengapa pemimpin kanan digugurkan tetapi bukannya calon-calon muda digugurkan, mengapa digugurkan mereka yang masih muda, calon seperti Yeoh Son Hin, Soon Lip Chee dan M.Satees… tiada sebab menggugurkan mereka,

“Ini bukannya proses peremajaan atau pemulihan parti tetapi penyingkiran politik untuk mengenepikan mereka yang dilihat atau dibayangkan sebagai penyokong kepada penyandang Ketua Menteri iaitu Chow Kon Yeow.

“Tindakan penyingkiran yang serong ini telah disokong para pemimpin di peringkat nasional dan individu yang terkenal dengan gelaran ‘Maharaja’ adalah punca kepada krisis yang sedang berlaku di DAP Pulau Pinang,” katanya.

Beliau yang sudah menjadi ahli DAP sejak 15 tahun lepas berkata, parti DAP yang disayanginya itu sudah kurang menghargai perbezaan pendapat dan sikap keterbukaan dari dalaman parti.
“Saya mungkin dipanggil anggur masam kerana berhenti menjadi ahli DAP, tetapi saya tidak mempunyai pilihan selain mengambil keputusan mutlak untuk melakarkan haluan politik saya pada masa hadapan.

“Seperti yang saya katakan, menggugurkan saya bukanlah satu isu tetapi isunya adalah ‘cara’ saya dan calon lain digugurkan, ia adalah penyingkiran tanpa penghargaan kepada khidmat kami,” katanya pada sidang media khas di Perai, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Ramasamy beliau hanya dimaklumkan bahawa digugurkan dan tidak dicalonkan pada 18 Julai lepas iaitu sehari sebelum pengumuman calon DAP yang bertanding PRN kali ini dilakukan.
Turut mengikut jejak langkah Ramasamy keluar parti, adalah Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Kamache Doray Rajoo, Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Jason Raj dan Penolong Setiausaha DAP Cawangan Taman Inderawasih, K. Krishnansamy.

Dalam pengumuman calon DAP bagi PRN Pulau Pinang sebelum ini, Anthony Loke mengumumkan 19 calon PRN. Bagaimanapun tujuh penyandang termasuk lima Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang digugurkan yang disifatkan sebagai satu proses pembaharuan bagi memastikan parti itu kekal dinamik dan relevan dalam politik.

Antara tujuh penyandang digugurkan ialah Ramasamy di kerusi DUN Perai, Phee Boon Poh (Sungai Puyu), Soon Lip Chee (Bagan Jermal), Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) selain Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Keputusan itu menyaksikan bekas ADUN Bagan Dalam, Satees dan Bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel bertindak keluar DAP dan bertanding atas tiket Bebas pada PRN ini.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)