PRN Sabah: BN 30 kerusi, BERSATU 20

PRN Sabah: BN 30 kerusi, BERSATU 20

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah mendapat persetujuan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sementara 20 kerusi pula diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sumber kedua-dua parti itu yang dihubungi memaklumkan, jumlah itu yang sudah diputuskan setakat kini, selebihnya masih dalam proses rundingan akhir, yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum hari penamaan calon 12 September ini.

DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tanpa menjelaskan secara terperinci kerusi DUN yang ditandingi, sumber BN itu memaklumkan majoriti kerusi yang akan mereka tandingi adalah kawasan yang dimenangi dalam PRU-14.

“BN pertahankan kerusi yang mereka menang dalam PRU lalu. Cuma ada beberapa kerusi (yang menang) dilepaskan (kepada BERSATU),” katanya sambil memaklumkan sebahagian agihan kerusi yang masih belum selesai itu juga membabitkan parti lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Ditanya sama ada jangkaan akan wujud pertembungan sesama sendiri jika rundingan di beberapa kerusi gagal, beliau tidak menolak ada kemungkinan itu, namun menegaskan ia hanya membabitkan jumlah yang terlalu kecil.

Sementara itu, sumber pimpinan BERSATU Sabah pula mengakui jumlah kerusi yang diterima mereka lebih kecil dan rundingan masih dijalankan untuk memperoleh beberapa lagi kerusi tambahan.

Secara asasnya, BERSATU Sabah dan UMNO bersetuju untuk kedua-duanya tidak bertembung sesama sendiri, namun mengakui ada sebilangan kerusi agak sukar untuk dirundingkan.

“Kerana masing-masing mahu kerusi itu, kami akan cuba ‘fight’ (lawan) lagi,” katanya turut menjelaskan calon BERSATU juga akan bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.

Kemunculan BERSATU pada PRN kali ini menyebabkan UMNO terpaksa melepaskan beberapa kerusi yang mereka tandingi dalam PRU lalu kepada calon BERSATU.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, 20 kerusi yang ditandingi BERSATU agak tinggi dan ini boleh mencetuskan pelbagai sentimen dalam kalangan penyokong UMNO dan BN.

“Sebaiknya mereka perlu melihat secara realistik, bertanding bersandarkan kekuatan mereka (BERSATU). Jika akar umbi UMNO protes, boleh memberi kesan kepada calon BERSATU nanti. Belum lagi yang akan meletakkan calon bebas, jika banyak penjuru, ia akan menggugat kemenangan BERSATU,” katanya.

Dalam situasi sebegini, katanya, tidak mustahil akan berlaku pertembungan sesama sendiri selepas usaha untuk berunding gagal, sekali gus menggagalkan hasrat untuk melihat pertembungan satu lawan satu antara BN/Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN)/ Pakatan Harapan dalam PRN kali ini.

Beliau berkata, peranan parti tempatan lain seperti PBRS, PBS dan STAR juga perlu diambil kira kerana mereka juga boleh membantu memberi kemenangan kepada gabungan.

Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara WARISAN menang di 21 kerusi, tewas di 24 kerusi DUN yang mereka tandingi. DAP pula menang di enam kerusi daripada tujuh kerusi yang mereka tandingi, sementara PKR tewas di enam kerusi dan hanya menang dua kerusi DUN. STAR pula menang di dua kerusi, namun tewas di 16 lagi kerusi yang mereka tandingi, sementara Parti Cinta Sabah tewas di semua 18 kerusi yang mereka tandingi sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman, memaklumkan kekal dengan pendirian untuk bertanding secara sendirian pada PRN Sabah tanpa menjalin kerjasama dengan mana-mana parti di negeri itu dan Semenanjung, biarpun ada usaha dari BN untuk meminta kedua-dua parti berunding.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan BN Sabah akan menampilkan tokoh baru anak tempatan dalam PRN hujung bulan ini.

“(Datuk Seri) Bung (Mokhtar Radin) dan BN Sabah sudah bersedia menampilkan tokoh-tokoh baru anak Sabah yang akan memperjuangkan kemajuan dan pembangunan Sabah,” katanya menerusi Twitter.

Annuar sebelum ini memaklumkan, pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen BN, PN dan sekutu mereka untuk PRN Sabah hampir 95 peratus siap dan akan diumumkan Selasa ini, sebaik mencapai konsensus mengenai peruntukan kerusi DUN Sabah dan penggunaan logo parti bagi pilihan raya itu.

PRN Sabah ke-16 akan diadakan pada 26 September manakala hari penamaan calon pada Sabtu, 12 September dan pengundian awal pada 22 September. Sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

-BH

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )