PRN SABAH : Shafie ucap terima kasih kepada penyokong Warisan

PRN SABAH : Shafie ucap terima kasih kepada penyokong Warisan

KOTA KINABALU, 28 Sept — Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang menyokong parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, yang baharu berlalu.

“Terima kasih atas semua sokongan daripada rakyat Sabah, terima kasih.

“Kita akan terus berkhidmat (kepada rakyat),” katanya kepada penyokong parti itu di kediaman Rumah Yayasan Sabah, di sini hari ini.

Bagaimanapun Mohd Shafie enggan mengulas mengenai pergerakan parti itu dalam masa terdekat.

Terdapat khabar angin mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Mohd Shafie sebagai ketua menteri.

Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang turut enggan mengulas mengenai pengumuman Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang memilih Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Terdahulu, beberapa pemimpin dan ADUN Warisan Plus yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 Sabtu lalu, dilihat keluar seterusnya beredar dari perkarangan rumah itu selepas bertemu dengan Mohd Shafie.

Antara yang dilihat hadir termasuk Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Datuk Frankie Poon dan Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony.

Suasana di kediaman Mohd Shadie sudah mula dipenuhi oleh para penyokong Warisan Plus dan para pengamal media sejak pagi tadi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )