PRN Sarawak: GPS umum calon bertanding pada 4 Disember – Abang Jo

MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai nama setiap calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu, 4 Disember depan. Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata GPS telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan PRN yang akan berlangsung pada 18 Disember 2021 sesuai dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita mungkin akan mengumumkan senarai nama semua calon kita secara langsung sebelum hari penamaan calon iaitu pada 4 November nanti.

“Kita sememangnya sudah bersedia dan kita di pihak GPS memang sudah menjangkakan bahawa pilihan raya akan diadakan sebelum sambutan perayaan Krismas. “Di pihak GPS sendiri, kita hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh pihak SPR dan semuanya telah kita sediakan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pengenalan Sekolah Sri Mawar, di Permyjaya pada Rabu.

Ditanya bila beliau akan mengumumkan calon GPS yang akan bertanding di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Miri, Sibuti dan Baram, Abang Jo memberitahu untuk tunggu pengumuman dari pihak GPS.

Malam ini Penyandang ADUN Satok itu akan mengadakan Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di Hotel Pullman, di sini. Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari sehingga jam 11.59 malam 17 Disember,

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )