PRN Sarawak: Tarikh pengundian 18 Dis, penamaan calon 6 Dis – SPR

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Dis.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Dis, iaitu hari Isnin, sehingga jam 11.59 malam 17 Dis. “Suruhanjaya PRN menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berhubung pembubaran DUN Sarawak yang ke-11 pada 5 Nov.

“SPR mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan menetapkan satu PRN Sarawak perlu diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN berkenaan,” katanya.

Abdul Ghani mengumumkan tarikh-tarikh penting berhubung PRN Sarawak itu pada satu sidang media di sini, hari ini, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum DUN Sarawak.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion. Menurut Abdul Ghani, PRN Sarawak ke-12 dianggarkan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM150 juta. Sebanyak 82 pusat penamaan calon dan 82 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada pilihan raya tersebut.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,951 buah premis akan digunakan sebagai pusat mengundi melibatkan 3,666 saluran mengundi. Daripada jumlah tersebut, 1,866 adalah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 saluran.

“Selain itu, sebanyak 85 pusat mengundi awal melibatkan 111 saluran mengundi awal akan digunakan,” ujarnya lagi. Semua 346 buah pusat mengundi biasa pada hari mengundi akan dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang sementara baki 1,520 pusat mengundi dibuka mengikut waktu yang telah diwartakan.

Manakala bagi pusat mengundi awal, 11 buah pusat mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 20 pusat mengundi dari jam 8 pagi hingga 2 petang dan baki 54 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Jelas Abdul Ghani, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRN kali ini adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2021 yang dikemas kini sehingga 2 Nov.

Ia melibatkan 1,252,014 pengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis PGA dan pasangan, serta 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Pada 3 Nov lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )